Penerbit, pengarah dan pelakon, Datuk Hans Isaac akui berdebar menanti keputusan ujian saringan COVID-19 yang dilakukan beberapa hari lalu.

Berkongsi pengalamannya menjalani ujian saringan, Hans berkata, debaran menjalani ujian tidak sama seperti menunggu keputusan.

“Proses pemeriksaan masih okay lagi tetapi nak tunggu hasil ujian, itu yang mencemaskan saya.

“Keputusan ujian hanya akan dikeluarkan selepas 48 jam. Sekarang saya masih lagi menunggu... Memang berdebar,” katanya.

Terdahulu, Hans menerusi laman sosial Instagram (IG)nya telah berkongsi proses dia menjalani pemeriksaan saringan COVID-19.

Menerusi video tersebut Hans telah menjalani ujian saringan menggunakan khidmat pihak swasta yang datang ke rumahnya.

Bagaimanapun perkongsian itu ditegur netizen yang mendakwa ujian hanya boleh dilakukan di hospital dan untuk mereka yang menunjukkan simptom COVID-19 sahaja.

Tidak berdiam diri dengan teguran tersebut, Hans menjelaskan tujuan dia melakukan ujian saringan bagi mengesan COVID-19 sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan insan di sekeliling.

Respect to all the medical and polis individuals who work overtime for us Malaysians. ????????#stayathome. #dudukrumah (please note that this is a private house call service , the dedicated individuals has texted over 50 people today with house calls )

A post shared by Hans Isaac (@hansisaac) on

Hans, 48, memberitahu, selepas dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman di paru-paru, dua minggu lalu, dia terpanggil menjalani pemeriksaan demi pengesahan.

“Saya jalani ujian bukanlah saja-saja seperti disangka ramai. Dua minggu lalu, saya dimasukkan ke sebuah pusat perubatan kerana masalah jangkitan kuman pada paru-paru.

“Saya dirawat selama lima hari. Walaupun di hospital, tapi kita tak boleh jamin penularan wabak ini tidak boleh berlaku.

“Sebagai langkah keselamatan diri dan mereka yang ada di sekeliling, saya jalani ujian saringan menggunakan khidmat pihak swasta yang bukan sahaja pakar malah bertauliah. Mereka boleh datang ke rumah, ' katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, Hans yang juga Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menegur individu yang tidak mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Saya minta sangat tolonglah patuh arahan. Kalau tiada keperluan, tak perlu keluar rumah. Jangan disebabkan kedegilan kita, orang lain menjadi mangsa,” katanya.

Sumber: BHOnline