Laman Utama
Hans Isaac Dedah Punca Bertanding Di Pemilihan PKR 2022
Pelakon dan penerbit filem terkenal, Datuk Hans Isaac akhirnya bersuara menjelaskan punca menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Cabang PKR Ampang pada Pemilihan PKR 2022.
Menerusi satu kenyataan pada Rabu, Hans menjelaskan perlunya perubahan terutama di Ampang dengan kepimpinan yang lebih kukuh dalam mendengar suara rakyat.
Ujarnya, tindakannya bertanding juga disebabkan mengambil kira 'Langkah Sheraton' serta ketidaktentuan politik yang berlaku sehingga menyebabkan defisit kepercayaan rakyat terhadap ahli politik.
"Mengambil kira tragedi Langkah Sheraton yang berlaku tidak lama dahulu, telah menggoncang kesetiaan dan kepercayaan rakyat yang selama ini bertindak berani membawa dinamik perubahan terhadap tampuk kepimpinan yang pada ketika itu terpalit dengan pelbagai skandal dalaman.
"Iklim politik tanah air yang semakin tidak menentu dan ekonomi yang mendesak nyata tidak membantu rakyat dalam meniti kehidupan yang semakin mencabar," katanya.
Tambah Hans, aspek senioriti dalam pentas politik juga tidak menjanjikan kecemerlangan, justeru perlu ada pembaharuan bagi mengembalikan keyakinan rakyat khususnya di peringkat akar umbi.
"Bertitik tolak dari peristiwa ini, saya berpendapat betapa jelas perlunya perubahan di Ampang dan kepimpinan yang lebih kukuh dalam memastikan setiap suara rakyat didengari.
"Ternyata aspek ‘seniority’ di pentas politik tidak menjanjikan kecemerlangan maka tidak seharusnya ‘ahli baru’ dipertikai.
"Demi mengekalkan gelombang KEADILAN di Ampang, adalah wajar untuk menggamit kembali keyakinan rakyat khasnya di peringkat akar umbi sekali gus memperjuang serta memperkasa idealisme parti," katanya.
Tambah Hans, beliau kini bersedia dalam membawa perubahan khususnya bagi PKR Cabang Ampang.
"Misi kita adalah begitu jelas dalam memastikan Ampang dipimpin oleh mereka yang berkemampuan membawa PKR kembali dipercayai oleh rakyat.
"Setelah mendapatkan pandangan keluarga dan rakan-rakan seperjuangan di dalam KEADILAN, saya dengan rendah dirinya ingin mengumumkan bahawa saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Cabang KEADILAN Ampang pada Pemilihan Parti 2022," jelasnya lagi.
Selain Hans, Datuk Afdlin Shauki dan Altimet antara artis yang turut menawarkan diri bertanding dalam Pemilihan PKR 2022.
Sumber: Awani
Must-Watch Video