Hans Isaac Masuk Hospital, Jalani Pembedahan Batu Karang; “Perut Saya Terlalu Sakit, Sampai Tak Larat…”
Gempak
13/11/2022 09:00 MYT
13/11/2022 09:00 MYT
Pengarah dan pelakon, Datuk Gerald Hans Isaac, 51 dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada awal pagi Ahad selepas mengalami kesakitan akibat batu karang.
Menurut laporan Sinar Harian, Hans yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika dihubungi memaklumkan beliau akan melalui satu pembedahan di hospital tersebut pada petang Ahad.
“Saya masuk hospital jam 3 pagi (Ahad) sebab perut saya terlalu sakit. Isu dia batu karang di dalam perut saya. Jadi saya tidak berapa tahan, memang sakit sampai saya tak larat. Jadi saya masuk hospital di sini.
“Pembedahan pukul enam nanti. Harap-harapnya semua ok, esok boleh balik dan sambung lagi perjuangan saya dengan pasukan saya dan parti saya,” katanya.
Berita mengenai kemasukan Hans ke hospital sebelum itu dimaklumkan oleh calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Ampang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Rodziah Ismail menerusi satu ciapan di Twitternya pada Ahad.
“Semoga Datuk Hans cepat sembuh. Berehat tau. Semangat untuk bawa bawa Perubahan, Team Kempen PH Ampang, baik Calon, Altimet (pencadang) Datuk Hans (penyokong) dan jentera-jentera.
“Walaupun ada yang kurang sihat, kami teruskan usaha. #KitaBoleh,” ujar Rodziah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga.
Hans sepatutnya dijadualkan untuk memberi ucapan pada acara Ceramah Umum PH di Setiawangsa pada malam Ahad bersama calon PH bagi Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan calon PH bagi Parlimen Subang, Wong Chen.
Terdahulu Hans turut berkongsi satu muat naik di IG Stories miliknya yang berkongsi mengenai perkara tersebut.
Sumber – Sinar Harian