Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Hans Isaac Sentiasa Pegang Nasihat Ibu - "Saya Mahu Terus Hidup Bersamanya..."

Asraf Aided
18/01/2021 03:31 MYT
Selebriti popular, Datuk Hans Isaac sentiasa berpegang kepada kata-kata nasihat diberikan oleh mendiang ibunya ketika beliau masih hidup.

Menurut Hans, ibunya pernah berpesan untuk sentiasa beringat tentang detik sukar dalam kehidupan meskipun sudah berjaya mencapai matlamat hidup.

"Mummy akan memasuki usia ke-83 hari ini (semalam) jika dia masih ada.

"Dia sentiasa cakap; 'Hans, hidup dalam keadaan tersendiri dan sentiasa beringat, hari tak selalunya cerah, jangan pernah hilang diri kamu jika atau bila kamu sudah berjaya mencapai matlamat dalam hidup'.

"Seperti kebanyakan keluarga lain, kami sering berkongsi tentang detik sukar, dia merupakan seorang wanita yang kuat, dia berjaya mengurus dan menyatukan kami bersama," tulis Hans sebagai kapsyen.

Tambah Hans, kata-kata nasihat ibunya adalah perkara paling indah yang pernah diperolehi, ia malar segar dan terus relevan hinggalah saat dunia dilanda pandemik COVID-19 ketika ini.

"Apa yang saya tahu, nasihat dia kepada saya adalah perkara paling indah yang pernah saya dapat.

"Beberapa tahun kemudiannya, terutamanya ketika pandemik ini, kata-katanya masih benar.

"Ketika pandemik ini, ramai antara kita rasai kesannya, banyak orang telah hilang pekerjaan. Kita harus berdiri bersama dan ambil langkah satu persatu untuk membina semula negara yang kita cintai, kita merupakan warga yang mempunyai keazaman yang tinggi," tulisnya lagi.

Hans juga berkata, dia akan terus berpegang kepada kata-kata nasihat yang diberikan ibunya dalam kehidupan.

"Ibu saya memang sudah tiada, tetapi nasihatnya tetap hidup. Saya mahu terus hidup bersamanya dan jadikan ia sebagai satu tanda penghormatan buat dirinya," tulisnya lagi.

Meninjau ruangan komen entri berkenaan, rata-rata pengikut Hans tidak ketinggalan beberapa rakan industri meninggalkan respon positif.

Antara selebriti yang memberikan sokongan adalah Elaine Daly, Datuk Afdlin Shauki, Fauziah Latiff dan Harits Iskander.

A post shared by Hans Isaac (@hansisaac)



Kredit Foto : Instagram @hansisaac

#Hans Isaac #Ibu #Nasihat