Akaun Facebook milik penyampai radio Haziq Hussni digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pihak pengurusan Haziq, Hot FM memaklumkan perkara tersebut menerusi satu kenyataan media yang dihantar semalam.

"Hot FM hari ini mengumumkan akaun Facebook Mohammad Haziq Irfan Bin Mohd Hussni atau lebih dikenali sebagai Haziq telah digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Laporan polis telah dibuat malam pada 8 September 2017 setelah Haziq mendapati sebuah akaun Facebook yang menggunakan gambar profilnya dengan nama “Haikal Jee” telah menghantar foto-foto yang tidak bermoral kepada pengguna laman media sosial terabit. Malah akaun rasmi Haziq juga telah dinyahaktifkan beberapa minit kemudian," ujar kenyataan tersebut.

Akaun media sosial milik selebriti sering menjadi sasaran untuk pihak penggodam yang tidak bertanggungjawab untuk menjalankan perkara yang tidak bermoral.

Baru-baru ini, akaun Facebook milik penyanyi Ernie Zakri hampir digodam oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab namun percubaan tersebut gagal.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @haziq_hotfm