Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
BERITA

Hantar Orang Dewasa Bermasalah Ke Kem Tentera

Gempak 16/05/2025 | 18:55 MYT

Pentadbiran Jawa Barat (Jabar) menghebahkan rancangan kontroversi untuk menghantar golongan dewasa yang ‘tidak berdisiplin’ ke kem tentera bagi menjalani latihan pendidikan sahsiah, menerusi program yang sebelum ini dilaksanakan untuk menangani pelajar bermasalah.

Gabenor Dedi Mulyadi berkata, inisiatif tersebut akan bermula bulan depan dan menyasarkan individu yang mengganggu ketenteraman awam termasuk pemabuk dan samseng jalanan.

“Mereka yang melakukan jenayah akan didakwa sewajarnya, manakala mereka yang tidak melanggar undang-undang secara serius akan dihantar ke kem tentera berkenaan,” ujarnya.

Bagi mengurangkan kesan kewangan terhadap keluarga peserta, individu yang dihantar ke kem tersebut juga akan diberikan pekerjaan seperti buruh binaan, petani, kuli atau penanam pokok.

“Atas khidmat itu, pampasan akan dihantar terus kepada keluarga mereka,” kata Setiausaha Pejabat Perpaduan Nasional dan Politik (Kesbangpol) Jabar, Sapta Yulianto Dasuki sambil menambah bahawa pentadbiran wilayah itu sedang menyediakan kemudahan yang diperlukan dan menyusun senarai bakal peserta program tersebut.

Sejak 2 Mei lalu, beberapa pentadbiran di Jabar termasuk Kota Bandung dan Kabupaten Purwakarta telah mula menggunakan kem tentera untuk menganjurkan program bagi pelajar bermasalah.

Sehingga Rabu, seramai 274 pelajar di provinsi itu telah menyertai latihan berkenaan.
Sumber: Sinar Harian
#Kem Tentera #Orang Dewasa