Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

‘Hantu Kak Limah’ Antara 25 Penggiat Seni Terima Rumah PPR

ZULHILMI JALIL
10/09/2020 09:14 MYT
Seramai 25 penggiat seni menerima bantuan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) menerusi inisiatif Perumahan Komuniti Seni Prihatin.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin berkata, kesemua penerima akan ditempatkan di dua kawasan PPR iaitu di Petaling Jaya dan Kepong.

“Ini adalah salah satu usaha KPKT dan Finas dalam membantu golongan artis yang memerlukan rumah agar menikmati kehidupan yang lebih selesa.

“Kita juga mahu wujudkan perkampungan yang mempunyai pelbagai lapisan masyarakat agar mereka dapat bergaul dan berkongsi ilmu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Surat Tawaran PPR kepada Komuniti Seni Prihatin di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Daripada 25 unit itu, seramai 19 penerima akan ditawarkan di PPR Sri Aman, Kuala Lumpur manakala enam lagi akan ditawarkan di PPR Lembah Subang 2, Selangor.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah

Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Antara penggiat seni yang menerima kediaman PPR itu ialah Alina Hassan, Sheila Mambo, Wan Nor Azlin, Mahmud Ali Bashah, Dalimati dan Badrul Muhayat.

“Sebenarnya saya dah lama mohon tapi baru tahun ini ada rezeki untuk dapat rumah PPR.

“Jadi, selepas ini dapatlah saya bayar duit bulanan rumah yang lebih rendah kerana selama ini saya hanya menyewa,” katanya.

Kesemua penggiat seni itu akan menerima sebuah unit kediaman yang dilengkapi dengan katil, almari, meja makan, set sofa dan dapur gas.

Rumah PPR berkeluasan 650 kaki persegi itu juga mempunyai kemudahan tiga bilik tidur dan dua bilik air.

#Hantu Kak Limah #Seni #'Penggiat #Program Perumahan Rakyat
;