Drama premium terbitan Astro Originals Kampong Pisang Bersiri-siri telah menemui penonton dengan episod pertama berjudul Toyol oh Toyol malam tadi.

Karya pengarah tersohor Mamat Khalid ini turut menampilkan pelakon TJ Isa sebagai Khuda yang menganggu ketenteraman Kampong Pisang dengan toyol peliharaannya.

Lebih istimewa apabila watak yang begitu sinonim dengan filem Hantu Kak Limah iaitu Kak Limah, Pak Joko Anuar dan Chomprak turut membuat kemunculan di samping penduduk Kampong Pisang yang lain.

Toyol oh Toyol mengisahkan keadaan Kampung Pisang menjadi kecoh dengan kehilangan duit dan barang berharga penduduk kampung yang banyak.

Keadaan menjadi lebih huru hara apabila air di Kampong Pisang di catu dan menyebabkan suasana di kampung lebih memudaratkan. Muncul Khuda untuk menjual air bersih kepada penduduk kampung.

Meninjau ke laman sosial Twitter, rata-rata wargamaya yang terhibur menonton episod pertama malam tadi.

Ramai yang turut berkongsi memori mereka menonton filem Hantu Kak Limah serta teruja melihat watak-watak yang tidak asing bagi mereka.

Tuddiah! Ada Pak Joko oi! Aku ini orang Indonesia, kalau tidak penuh ilmu di dada! Tidak sampei ke Terusan Suez!” tulis seorang wargamaya.

Episod 1 is entertaining. Walaupun watak asal dah digantikan pelakon lain, tapi so far tak mengecewakan,” kata seorang wargamaya.

Sumpah boleh hilang demam aku layan kampung pisang the series ni,” ujar seorang wargamaya.

Yang bukan-bukan lawak dalam #KampongPisangBersiriSiri hahaha. Dialog berbual merapu pun boleh jadi kelakar,” puji seorang wargamaya.

Baju tetap sama dan karakter memang tak berubah. Kelakar habis drama ni,” komen seorang wargamaya.

Woii kelakar la noticeboard pak jabit tulis Waifi 3Ji hahaha,” tulis seorang wargamaya lagi.

Kampong Pisang Bersiri-siri menghimpunkan barisan watak komedi daripada francais terdahulu antaranya, Pak Jabit dan Husin daripada filem Zombi Kampung Pisang, Kak Limah (Hantu Kak Limah), Cik Purnama, Chomprak, Joko Anuar, Pembantu Perubatan (Hantu Kak Limah Balik Rumah) dan penampilan watak Barkoba daripada 16 dan 17 Puasa.

Malah, turut memperkenalkan watak sampingan baru seperti Pak Kasim, Pak Din ‘Pest Control’, Pak Karim dan Cik Chun.

Kampong Pisang Bersiri-Siri bersiaran sebanyak 12 episod bermula 7 Disember ini, setiap Isnin, pukul 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108 (HD) / 128 (SD).