Drama premium terbitan Astro Originals, Kampong Pisang Bersiri-siri akan menemui penonton dengan episod akhir yang berjudul Kampong Pisang Redox pada malam ini.

Diarahkan oleh sutradara tersohor, Mamat Khalid, episod khas kali ini menampilkan babak-babak yang tidak pernah ditayangkan lagi dan dipadam sepanjang 13 episod Kampong Pisang Bersiri-siri bersiaran.

Melihat daripada poster episod kali ini, semua pelakon Kampong Pisang akan membuat kemunculan sebagai tanda penghargaan kepada episod akhir malam ini.

Tetapi kenapa muka Pak Din berparut? Hantu mana yang paling menakutkan? Kejadian mana yang paling mengerikan di Kampong Pisang? Segalanya terjawab di dalam episod akhir malam ini.

Kampong Pisang Bersiri-siri menghimpunkan barisan watak komedi daripada francais terdahulu antaranya, Pak Jabit dan Husin daripada filem Zombi Kampung Pisang, Kak Limah (Hantu Kak Limah), Cik Purnama, Chomprak, Joko Anuar, Pembantu Perubatan (Hantu Kak Limah Balik Rumah) dan penampilan watak Barkoba daripada 16 dan 17 Puasa.

Malah, turut memperkenalkan watak sampingan baru seperti Pak Kasim, Pak Din ‘Pest Control’, Pak Karim dan Cik Chun.

Kampong Pisang Bersiri-Siri bersiaran sebanyak 12 episod bermula 7 Disember ini, setiap Isnin, pukul 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108 (HD) / 128 (SD).