Hiburan
Hanya Mereka Yang Pernah Lalui Situasi Ini Akan Faham Perasaan Saya - Nadiya Nisaa
Pelakon Nadiya Nisaa menganggap kehilangan anak dalam kandungannya sebagai ketentuan takdir.
Menurut Nadiya Nisaa, 31, dia kini sedang dalam proses memulihkan semangat dan berharap semua pihak memahami situasinya.
“Bukan saya tak nak berkongsi, tetapi apa yang saya boleh katakan hanya mereka yang pernah lalui situasi ini akan faham perasaan saya.
“Saya reda dengan apa yang berlaku dan saya anggap ini ketentuan tuhan. Memang saya jarang berkongsi cerita di laman sosial selepas apa yang berlaku.
“Sepanjang tempoh berpantang, saya lebih fokus untuk memulihkan kesihatan diri dan Alhamdulillah saya kini semakin pulih,“ katanya ketika sesi temubual bersama media mengenai filem terbaru lakonannya berjudul, Interchange.
Bagaimanapun, Nadiya akui sukar untuk berkongsi dengan lebih lanjut mnegenai kejadian yang menimpanya.
“Waktu itu kandungan saya dah mencecah lapan bulan, saya tidak mengalami keguguran sebaliknya anak saya meninggal dalam kandungan.
“Saya dimaklumkan mengenai perkara tersebut ketika menjalani rutin pemeriksaan untuk kandungan saya.
“Perasaan saya waktu itu hanya tuhan saja yang tahu. Selepas pada kejadian itu, saya tidak membaca langsung surat khabar apatah lagi laman sosial.
“Keluarga juga terpaksa sorokkan surat khabar supaya saya tidak terbaca mengenai berita saya kehilangan anak,” jelasnya sebak.
Dalam pada itu, Nadiya juga memanjatkan rasa syukur kerana semangatnya kini semakin pulih secara perlahan-lahan.
“Saya tahu perkara ini boleh terjadi kepada sesiapa saja, ini semua dugaan yang telah ditentukan oleh ilahi dan saya terima dengan seadanya.
“Saya tidak trauma tapi saya perlukan masa untuk pulihkan semangat saya perlahan-lahan. Dengan sokongan keluarga dan doa peminat saya kini semakin sihat,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai penghijrahannya, Nadiya memberitahu hatinya terdetik untuk berhijab sejak Ramadan lalu.
“Hati saya terdetik sejak bulan Ramadan lalu dan tiada kaitan dengan kehilangan anak.
“Saya mula tampil berhijab selepas habis pantang. Tidak ada masalah untuk rasa selesa, lagipun sebelum ini saya banyak melakonkan watak sebagai wanita bertudung,” katanya.
Dalam perkembangan terbaru, Nadiya telah membintangi filem Interchange arahan Dain Iskandar Taib yang akan ditayangkan di pawagam seluruh tanah air bermula 1 Disember depan.
Teks oleh: Mya Amri