Pemberian vaksin COVID-19 keluaran Pfizer BioNTech kepada kanak-kanak berusia 12 tahun kebawah akan dimulakan pada tahun 2022.

Memetik laporan BERNAMA, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan hanya vaksin jenis berkenaan yang tersedia untuk kegunaan kanak-kanak bawah 12 tahun. Ianya kini sedang menunggu kelulusan regulatori daripada Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.

"Pihak Pfizer juga dijangka mengemukakan data berkaitan pendaftaran penggunaan vaksin untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun pada penghujung tahun ini kepada NPRA (Agensi Regulatori Farmasi Negara) untuk penilaian dan kelulusan pendaftaran," kata pihak KKM seperti yang dipetik.

Menurut KKM lagi, kerajaan kini dalam proses mendapatkan vaksin Pfizer BioNTech bagi kegunaan imunisasi golongan tersebut memandangkan formulasinya adalah berbeza dengan yang diberikan kepada populasi dewasa, tertakluk kepada kelulusan NPRA dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

"Dijangkakan seramai 5.9 juta kanak-kanak akan divaksinasi melibatkan anggaran keperluan kuantiti sebanyak 11.8 juta dos," katanya lagi.

Sumber: BERNAMA
Foto: AWANI

Dapatkan berita terkini, cepat dan mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah undi artis kegemaran di AME2021? Klik banner di bawah untuk mengundi.