Filem
Hanyut, Penantian Karya Hebat U-Wei Yang Berbaloi
FILEM: Hanyut
PENGARAH: U-Wei Haji Saari
PELAKON: Peter O’Brien, Datin Sofia Jane, Diana Danielle, Adi Putra, Khalid Salleh, Bront Palarae, Rahayu Saraswati dan Alex Komang (Allahyarham)
DURASI: 116 minit
PENGEDAR: Tanah Licin Sdn. Bhd.
TARIKH TAYANGAN: 24 November 2016
Penantian selama empat tahun menunggu tayangan filem Hanyut arahan sutradara handalan, U-Wei Haji Saari sememangnya berbaloi.
Berpeluang menonton filem tersebut baru-baru ini, jujur penulis katakan bahawa Hanyut bukanlah sebuah filem biasa.
Kebijaksanaan pengarah menceritakan secara jelas peranan setiap watak membuatkan susunan jalan cerita Hanyut begitu menarik.
Karya tersebut juga diperhebatkan lagi bersama paparan cinematografi yang cantik dengan berlatarbelakangkan kurun ke-19.
Pujian juga harus diberikan kepada barisan pelakon Hanyut seperti Adi Putra, Peter O’Brien, Diana Danielle, Sofia Jane dan Bront Palarae kerana berjaya menghidupkan watak sehingga menyentuh hati penonton.
Kebanyakan babak yang menyentuh hati datang daripada watak utamanya, Kasper Almayer yang dilakonkan oleh aktor kelahiran Australis, Peter O’Brien.
Almayer merupakan seorang pedagang Belanda yang datang ke Tanah Melayu untuk mencari emas dan harta karun yang dikatakan tersembunyi di kawasan pergunungan.
Namun ketaksubannya itu telah menghanyutkan dirinya dan mengabaikan tanggungjawab terhadap anak kesayangannya, Nina (Diana Danielle).
Kalau dilihat daripada sudut pandangan Nina, dia tidak mahu membiarkan dirinya keliru antara kontek budaya Kemelayuan (ibunya) dan Inggeris (bapanya).
Tidak tahan dengan sikap kedua ibubapanya yang sering bertelagah mengenai perbezaan budaya, Nina telah memilh Dain Maroola (Adi Putra) dan percaya lelaki itu mampu membawa dirinya menjalani kehidupan yang lebih baik.
Bagaimanapun, Nina dan Dain telah ‘hanyut’ dengan perasaan masing-masing kerana keduanya telah jatuh cinta pandang pertama dan perkara itu membuatkan Nina bertekad untuk melarikan diri bersama Dain.
Sementara itu, pada pendapat penulis elemen pengajaran dan kasih sayang yang digarapkan dalam filem ini seiring dengan setiap detik penceritaan filem tersebut.
Sebagai contoh babak yang melibatkan Nina dan Kasper di mana dia itu tetap berusaha untuk menyelamatkan Nina dan Dain yang menjadi buruan.
Namun disebabkan keegoannya, Kasper sanggup memutuskan pertalian darah bersama Nina kerana berkecil hati dengan tindakan anaknya yang memilih Dain.
Bagaimanapun, air mata lelakinya gugur selepas meninggalkan Nina di sebuah pulau sebelum dia terduduk dan menangis teresak-esak.
Nina yang sebak melihat keadaan bapanya itu kemudiannya berlari dan memeluk bapanya sambil mencium dahinya buat kali terakhir. Itulah antara babak yang meninggalkan kesan dalam hati penulis.
Sekaligus meletakkan Hanyut sebagai sebuah filem hebat yang berteraskan kualiti dan memberikan santapan berbeza kepada penonton.
Sinopsis:
Ditulis berdasarkan novel pertama Joseph Conrad berjudul ‘Almayer’s Folly’, filem tersebut bercerita tentang Almayer, pedagang dari Belanda yang berjuang untuk hidup di Malaya pada akhir abad ke-19.
Impiannya untuk mencari mitos gunung emas ditentang isterinya, Mem (Sofia Jane), para penguasa dan politik pimpinan tempatan serta pedagang Arab dan digawatkan lagi dengan percintaan anak perempuannya dengan seorang putera Melayu yang menuntut kebebasan.
Teks oleh: Mya Amri
Must-Watch Video