Hiburan

"Happy 19th Birthday" - Ucap Selamat Hari Lahir, Adik Fadlan Hazim Pula Jadi Perhatian Pengarah & Peminat

gempak
Badrul Hashim
18/08/2020
13:00 MYT
Sponsor Banner
"Happy 19th Birthday" - Ucap Selamat Hari Lahir, Adik Fadlan Hazim Pula Jadi Perhatian Pengarah & Peminat
Berkongsi satu entri di Instagram miliknya, pelakon kacak filem Sangkar, Fadlan Hazim ternyata tidak terkejut apabila ada pengarah yang menawarkan adiknya untuk berlakon.
Dalam entri tersebut, Fadlan memuat naik dua keping gambar bersama adiknya Faisal Sufiyan sambil mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran yang ke 19.
"Happy 19th Birthday my lil bro @faisal_0818. Keep fulfilling your childhood dreams, live a happy life, and just enjoy everything," tulisnya.
Ternyata entri tersebut mendapat pelbagai komen dan reaksi daripada peminat dan juga teman-teman di dalam industri seni.
"Adik saya baru saja memulakan kelas di Aswara awal bulan ini. Sebelum ini dia mengikuti kelas secara online, tapi dia lebih ke arah muzik dan bukan lakonan.
"Cita-citanya untuk menjadi pencipta lagu, pencipta lirik dan pengarah muzik dan dia tidak begitu berminat untuk berlakon," kata Fadlan ketika dihubungi oleh Gempak.
Menurut Fadlan, adiknya sedari kecil lagi sudah meminati muzik dan ketika di tingkatan tiga dia sudah pandai bermain alat muzik seperti gitar, piano dan keyboard serta mula mencipta lagunya sendiri.
"Saya sendiripun bermula dengan nyanyian apabila menyertai kumpulan yang digelar VIP dan mempunyai dua buah lagu iaitu 'Lagu Sedih' dan 'Kemarau'.
"Bermula dari situ saya mempunyai studio mini saya sendiri di rumah keluarga, tetapi apabila saya meninggalkan kumpulan VIP, saya menyerahkan studio mini tersebut pada adik saya," kata Fadlan yang banyak menyokong hala tuju bakat adiknya itu.
Mempunyai wajah yang kacak dan tampan seperti abangnya itu, maka tidak hairanlah wajah Faisal pernah hadir dalam iklan-iklan di kaca televisyen. Dia juga pernah mendapat tawaran-tawaran berlakon sebelum ini tetapi menolaknya.
"Saya dan keluarga sememangnya memberikan galakan untuk dia mengikuti minatnya iaitu muzik. Galakan daripada keluarga sangat penting untuk membina jati diri dan mengikut minat di hati.
"Sebab itulah saya menasihatinya untuk menyambung pelajaran kerana ketika saya mula-mula menceburi bidang lakonan, saya tidak mempunyai asas. Hanya kebelakangan ini sahaja baru saya berpeluang untuk menambah ilmu lakonan," kata Fadlan supaya adiknya itu mampu berjaya dengan ilmu yang ada.
Ditanya tentang dirinya yang pernah menjadi penyanyi sama ada masih ada minat mahu meneruskannya, Fadlan terdiam seketika.
"Masih lagi minat menyanyi, masih lagi sering ke karaoke, tapi buat masa sekarang saya nak tumpukan dulu pada bidang lakonan kerana ketika ini macam rasa tak mampu nak lakukannya serentak.
"Tapi bila nampak Naim Daniel boleh berjaya, perasaan yang dulu pendam tu dah mula macam ada balik. Mana tahu satu hari nanti saya boleh hasilkan single saya sendiri dengan lagu yang dicipta dan dihasilkan oleh adik saya sendiri," kata Fadlan mengakhiri bicara.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live