Hiburan
Haqiem Rusli Akui Perkataan 'Kurang Ajar' Pada Nabil Ahmad Hanya Gurauan
Pendatang baru, Haqiem Rusli,19 , menepis dakwaan bersikap biadap terhadap pelawak Nabil Ahmad ketika muncul dalam program MeleTop baru-baru ini.
Haqiem berkata dia hanya bergurau apabila mengeluarkan perkataan 'kurang ajar' selepas pengacara MeleTop itu menyentuh rambutnya ketika program sedang bersiaran langsung.
"Saya rasa orang cuma salah faham kerana, saya menyebut perkataan tersebut dalam nada gurauan.
"Tiada niat di hati saya hendak bersikap biadap terhadap Nabil kerana saya sangat menghormati dia.
"Namun saya terima sahaja apa juga terguran demi penambahbaikan diri saya selepas ini," katanya kepada Astro Gempak.
Penyanyi lagu Segalanya itu ditemui pada sidang media Jelajah Kolaborasi Safi Balqis Bersama Artis Sony Music di Menara Kuala Lumpur semalam.
Terdahulu, sebuah akhbar menerusi ruangan gosip telah mendakwa Haqiem telah bersikap biadap sewaktu menegur Nabil yang menyentuh rambutnya ketika program tersebut bersiaran.
Ruangan gosip itu juga menyebut Haqiem sering mengungkit tentang kisahnya tidak terpilih menyertai sebuah program realiti.
Haqiem yang mengulas lanjut mengenai gosip itu memberitahu dia hanya menjawab pertanyaan media apabila ditanya tentang penglibatannya dalam program realiti tersebut.
"Bukan tidak puas hati kerana tidak terpilih atau ingin mengungkit cuma saya hanya menjawab apa yang ditanya.
"Saya bukannya tidak boleh terima kekalahan tetapi saya cuma hanya menceritakan dan berkongsi pengalaman menyertai program itu.
"Niat saya untuk beritahu bahawa saya bangkit kerana kekalahan tersebut," jelasnya.
Mengenai perkembangan lain, Haqiem bakal menyertai Jelajah Kolaborasi Safi Balqis Bersama Artis Sony Music yang turut menampilkan barisan artis seperti Aliff Aziz, Altimet, Ifa Raziah, Ary Hadre, Farisha Irish, Shamim dan Wani.
Lokasi yang terpilih adalah Mydin Pulau Sebang Melaka (16 April), Universiti Utara Malaysia, Kedah (19 April), Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang (23 April), Universiti Putra Malaysia, Serdang (29 April) dan Mydin Senawang, Seremban (7 Mei).
Teks oleh: Syafiqah Jalal
Must-Watch Video