Pihak Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan hukum melakukan transaksi jual beli secara atas talian ketika solat jumaat adalah haram.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan di laman web rasmi, hukum tersebut adalah kerana ia boleh melalaikan seseorang daripada menumpukan solat jumaat.

Konteks ini juga adalah sama seperti larangan syarak terhadap melakukan transaksi jual beli biasa dan seumpamanya yang boleh melalaikan.

“Oleh itu, dinasihatkan untuk umat Islam untuk menjauhkan diri daripada kesalahan ini dan melakukan transaksi jual beli tersebut selepas selesai waktu solat jumaat,” kata kenyataan berkenaan.

Jelas pihak mufti lagi, pada asasnya hukum berkaitan melakukan jual beli pada hari jumaat adalah diharuskan.

“Namun begitu, apabila masuknya waktu solat jumaat, umat Islam perlu segera meninggalkan urusan duniawi dan fokus pada solat jumaat tersebut,” katanya.

Pihak mufti mengeluarkan fatwa itu sebagai menjawab pertanyaan seorang individu mengenai hukum berjual beli secara online termasuk saham ketika solat jumaat.

Anda boleh lihat huraian penuh di sini.