HIBURAN
“Harap Kita Bersama Suatu Hari Nanti, Mungkin Disini Atau Kehidupan Yang Lain” – Doa Nabila Huda Kepada Amy Search
Pelakon Nabila Huda mengakui rindu terhadap bapanya iaitu Amy Search terlerai selepas bertemu dengan insan tersayangnya itu setelah sekian lama tidak berjumpa kerana konflik keluarga.
Kongsi Nabila atau lebih mesra dengan panggilan Abil itu lagi, dia menyifatkan pertemuan tersebut sangat bermakna kerana dapat melunaskan hasratnya untuk bersalaman dan bermaafan dengan Amy sebelum Syawal berakhir.
“Sudah tentu saya rindu. Terlerai rindu saya sekejap, bila lama tak jumpa dan terjumpa pula sudah tentu saya seronok. Dalam masa sama saya gementar.
“Dapatlah saya salam raya dan minta maaf sebab tak dapat jumpa di hari raya. Alhamdulillah Allah jumpakan saya dengan dia.
“Saya nak sangat ucap ‘Selamat Hari Raya’ dan salam raya dengan dia. Alhamdulillah doa saya itu termakbul sebelum Syawal habis.
“Saya beritahu betapa rindunya saya dengan dia dan betapa sayangnya saya dengan dia,” katanya sebak kepada Gempak.
Nabila berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada siding media selepas Majlis Tayangan Perdana filem lakonannya, Telaga Suriram di Dadi Cinema Pavilio, Kuala Lumpur pada Khamis.
Kongsi Nabila lagi, dia menganggap apa yang terjadi adalah takdir yang tidak dijangka dan ia sebuah cerita yang belum berpenghujung.
“Ia sebuah takdir. Situasi dan takdir itu buat kita terpisah. Saya tak jangka langsung untuk terjumpa tetapi kita hanya lalui hidup ini dengan tenang. Jika ada rezeki kita hidup bersama, ada lah.
“Saya terima saja apa yang ada. Saya sudah penat, tak apa lah saya hanya lalui saja apa yang datang.
“Ia sebuah cerita yang tak berkesudahan,” ujarnya.
Dalam nada sebak, Nabila hanya mampu terus mendoakan insan tersayangnya itu dari jauh biarpun harapan untuk kembali bersama hanya tingal angan.
“Saya selalu doakan dia sentiasa bahagia, macam mana dia doakan saya, saya sentiasa doakan dia supaya dia panjang umur dan sihat.
“Saya nak dia tahu yang saya sayang dia sangat, saya juga tahu dia sentiasa doakan saya.
“Saya harap satu hari nanti kita akan bersama, mungkin disini atau mungkin di kehidupan yang lain,” tutupnya penuh sayu.
Must-Watch Video