Impian peminat untuk menyaksikan kumpulan rock popular sekitar 2000-an, My Chemical Romance kembali bersama nampaknya bakal musnah kerana mereka dilaporkan tidak akan membuat sebarang reunion.

Selepas setiap ahli kumpulannya membawa haluan masing-masing, agak mustahil untuk mereka menghasilkan karya terbaru untuk peminat.

Vokalis MCR, Gerard Way dilaporkan mahu menumpukan sepenuh perhatian pada kerjayanya dalam bidang penulisan komik.

Dia kini sedang dalam rangka promosi dan penulisan komik Doom Patrol selain karya komiknya sendiri, Umbrella Academy.

Memetik temubual SYFY WIRE yang baru diterbitkan minggu lalu, adik Gerard, Mikey Way turut mengikuti jejak abangnya sebagai penulis untuk komik Collapser, sebuah karya untuk DC Comics.

Gitaris MCR, Frank Iero turut menepis tanggapan mereka akan kembali bersama.

Namun, mereka tetap akan bertemu setahun sekali untuk acara barbeku dan bersembang tentang kehidupan masing-masing.

Frank juga pada ketika ini sedang sibuk dengan siri jelajah kumpulannya, Frank Iero & The Future Violents.

Untuk anda yang merindui karya MCR, anda boleh mendengar karya MCR menerusi lagu Hazy Shade of Winter yang dirakam khas untuk siri Umbrella Academy yang dinyanyikan oleh Gerard dengan petikan gitar oleh Gitaris MCR, Ray Toro.

Terdahulu, berita mengenai reunion itu dihebohkan oleh Joe Jonas menerusi satu temubual bersama KISS FM Breakfast Show apabila Jonas sendiri terlepas cakap tentang berita itu.