Disebabkan kejayaan Konsert Exist Reunion yang diadakan pada 2019, kumpulan yang popular dengan lagu Rahsia Pohon Cemara itu merancang untuk mengadakan konsert jelajah pada tahun depan.

Hal itu disahkan sewaktu majlis pelancaran album Exists Reunion yang berlangsung di ibu kota baru-baru ini.

“Kami memang dah lama mahu mengadakan konsert jelajah dan perancangan tersebut dibuat selepas melihat kejayaan konsert Exists Reunion dua tahun lalu.

“Namun, disebabkan pandemik, perancangan berkenaan terpaksa ditunda sehingga ke tahun depan,” ujar Ajai mewakili kumpulan Exists.

Berkenaan dengan perancangan lanjut mengenai konsert berkenaan, Ajai memberitahu, konsert jelajah itu akan bermula di Singapura dan bakal berakhir di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Begitupun, menurut Ajai, Exists ada merancang untuk mengadakan konsert di Indonesia, namun ia semua bergantung kepada situasi semasa.

“Kami memang ingin mengadakan konsert di Indonesia memandangkan Exists mempunyai ramai peminat di negara berkenaan,” ujar Ajai lagi.

Bercakap mengenai album Exists Reunion, kumpulan itu menjelaskan, album berkenaan dirakam secara langsung menerusi konsert reunion Exists yang berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor pada 28 September 2019.

Menariknya, album Exists Reunion ini juga hanya diterbitkan sebanyak 1,000 unit sahaja dengan harga RM89.

Menjelaskan mengapa album berkenaan diterbitkan dengan jumlah sedikit, vokalis Exists, Ezad Lazim berkata, album tersebut boleh dianggap sebagai cenderahati khas buat peminat setia mereka.

“Kita tahu peminat ramai yang akan menantikan album ini apatah lagi ini bukanlah album yang normal. Tambahan pula, kesemua anggota Exists berada di dalam konsert ini.

“Jika sambutan menggalakkan, kita akan ulang cetak album ini lagi sekali,” katanya.

Tambah Ezad lagi, memang ada peminat yang menunggu album tersebut untuk disimpan sebagai sebahagian daripada koleksi mereka.

Dalam pada itu, ditanya mengapa harga album tersebut dijual pada harga yang agak mahal, penerbit yang juga Ketua Pengarah Eksekutif Shiraz Music, Shiraz berkata, itu adalah nilai yang terbaik boleh diberikan.

“Kita boleh berbelanja jumlah yang sama untuk artis antarabangsa tetapi kenapa tidak untuk sebuah kumpulan muzik tempatan.

“Lagipun kita bukan sahaja jual cd, kita siap beri pakej poster dan susunan semula muzik di dalam album ini juga dilakukan oleh seorang yang profesional.

“Jadi saya rasa untuk sebuah album yang menampilkan kumpulan yang sudah cukup lama dalam industri seni tempatan dan dikenali ramai, tidaklah mahal sebenarnya,” katanya.

Album Konsert Exists Reunion ‘Live’, boleh terus menerusi www.shirazmusic.com.