Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Harga Kailan Ikan Masin Cecah RM18, KPDNHEP Mahu Pemilik Restoran Beri Penjelasan Dalam Masa 2 Hari

Azwa Rahman
29/11/2021 12:20 MYT
Selepas insiden harga ikan siakap dan sotong goreng cekik darah hangat diperkatakan di laman sosial, tular pula isu menu kailan ikan masin dijual pada harga yang mahal.

Seorang pelanggan di Pulau Pinang mendakwa telah membeli sebungkus kailan ikan masin bagi seorang makan berharga RM18 di sebuah restoran di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Menerusi laman sosial, pelanggan tersebut berkongsi luahannya dengan memuat naik gambar resit serta bungkusan sayur kailan ikan masin yang didakwa terlalu mahal dan tidak setara dengan kuantiti.

Resit berkenaan turut memaparkan harga lauk jenahak RM90, sayur campur (RM9) serta ulam dan sambal (RM5) dengan nilai keseluruhan RM122.

Walau bagaimanapun, nama restoran tidak didedahkan.

Perkongsian pelanggan tersebut mengundang pelbagai reaksi wargamaya yang rata-ratanya mendakwa harga kailan ikan masin tersebut mahal.

“Nampaknya kita kena normalize kan tanya harga makanan dulu sebelum makan. Karang time nak bayar boleh sakit jantung. Kailan Ikan masin pun RM18 sekarang,” komen seorang wargamaya.

“Rajin-rajin la KPDN spot check harga untuk kurangkan peniaga dan pembekal mengambil kesempatan sambil mengaut untung secara yahudi,” tulis seorang wargamaya.

“Sejak boleh merentas negeri, saya nampak ramai pergi melancong dalam negara perlu ikut sop, kita jaga kita. Tetapi isu harga melampau tinggi sering keluar dalam berita, ikan siakap harganya lampau tinggi sampai seribu lebih, sekarang sayur pula. Adakah pegawai turun padang,” luah seorang wargamaya.

“Sebelum ni berlumba-lumba upload gambar makanan sebelum makan, walaupun mahal. Sekarang ni upload makanan plus ngan resit,” kata seorang wargamaya lagi.

Susulan daripada kes tersebur, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang memberi tempoh dua hari kepada peniaga restoran untuk menjelaskan mengenai dakwaan menjual sebungkus sayur kailan ikan masin pada harga RM18.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat KPDNHEP negeri, pihaknya telah bertemu dengan pemilik restoran berkenaan susulan aduan yang diterima berhubung dakwaan harga hidangan yang terlalu mahal yang tidak setara kuantiti yang diberikan.

Berikutan itu, satu Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) diberikan kepada pemilik restoran dan dia diminta memberi maklum balas berhubung harga tersebut dalam tempoh 2 hari bekerja sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
#Kailan ikan masin RM18 #Kepala Batas, Pulau Pinang #Sayur kailan
;