Harga Kediaman Mewah Di Dubai Cecah Puluhan Juta Ringgit? Siti Nurhaliza Tampil Jawab Spekulasi Netizen
Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, tampil mengesahkan spekulasi mengenai pembelian sebuah kediaman mewah di Dubai seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.
Bagaimanapun, ibu kepada dua cahaya mata itu menafikan bahawa kediaman tersebut mencecah nilai puluhan juta ringgit.
“Semua orang ada impian dan kediaman itu merupakan antara impian saya. Saya anggap pembelian hartanah itu adalah sebagai satu pelaburan.
“Selain itu saya juga bercadang ingin menggembangkan perniagaan di Timur Tengah. Saya juga memang suka dengan Dubai kerana ia sebuah negara yang pesat membangun.
“Pun begitu, harganya tidaklah sebagaimana yang digembar-gemburkan. Saya belum mampu lagi capai tahap itu,”katanya kepada Gempak.
Siti berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahunnya yang ke-44 dan penubuhan kelab peminat, Sitizoners yang ke-19, di Magica Banquet Hall, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Berkongsi mengenai pemilihan Dubai, pelantun lagu Purnama Merindu itu berkata, Timur Tengah merupakan salah satu lokasi strategik untuk memperkembangan perniagaan.
“Timur tengah salah satu pasaran yang pesat untuk saya cari peluang di sana. Lagi satu saya pilih kerana saya suka Dubai.
“Berkemungkinan satu hari nanti kerjaya saya akan berkembang di sana. Itu juga salah satu negara Islam yang maju.
“Segala yang terbaik ada di sana. Selain saya suka dengan kepesatan dan pembangunan di sana,” tambahnya.
Terdahulu, anak tiri kepada Siti iaitu Asyraf Khalid ‘membocorkan’ rahsia Siti membeli kediaman mewah di The Address Residences, Dubai yang mencecah puluhan jutaan ringgit.