Pandemik COVID-19 pastinya memberi impak yang amat besar terhadap semua penduduk di seluruh dunia.

Namun, dalam pada ramai yang tertekan, tidak kurang juga yang mengambil pendekatan berbeza.

Terbaru, sebuah salun di Kibera, Kenya secara kreatifnya telah memperkenalkan fesyen rambut ala koronavirus.

Fesyen dinamakan 'The Coronavirus' itu menampilkan gaya rambut yang diikat kepada beberapa bahagian dan bercabang.

Gaya ini saling tidak tumpah dengan bentuk COVID-19 yang dilihat di bawah mikroskop.

Menurut satu daripada pengusaha salun yang menyediakan perkhidmatan tersebut, rambut pelanggan diikat kepada beberapa bahagian kemudian dipusing dan mengikat satu persatu sehingga ikatan rambut menjadi tegak dan melawan graviti.

"Gaya ini sangat ringkas dan murah untuk dilakukan pada setiap orang," katanya.

Difahamkan, gaya berkenaan dicaj dengan kadar yang cukup murah iaitu AS$1 (RM4.34).

Untuk rekod, Kenya hingga kini mencatatkan 649 kes positif Covid-19 dengan 30 kematian.

Sumber: Harian Metro, Time, AP