Hiburan
Harga Tiket Konsert Dikatakan Terlalu Murah, Ini Penjelasan Haqiem Rusli
Penyanyi Haqiem Rusli menjelaskan konsert yang diadakan pada Jumaat lalu hanya untuk kepuasan diri bersama peminatnya.
Kata Haqiem, keuntungan daripada hasil penjualan tiket tidak menjadi keutamaan untuk dirinya.
“Saya sedar, ada pihak mempersoalkan mengenai harga tiket yang dikatakan terlalu murah.
"Memang kami menjual tiket biasa pada harga RM20, selain RM100 untuk pakej ramah mesra bersama saya.
“Saya tidak kisah apa orang hendak perkatakan. Saya mengadakan persembahan ini hanya untuk kepuasan diri dan peminat.
"Saya juga bimbang, kalau harga tiket mahal, ada ke peminat yang mahu datang menontonnya?
"Jika harganya beratus ringgit, mungkin ada yang tidak mampu membelinya.
“Alhamdulillah, persembahan mendapat sambutan baik dan impian saya juga tercapai menerusi konsert mini ini,” katanya kepada Gempak.
Haqiem ditemui usai mini konsert bersama peminat yang diadakan di Forest Valley Hall, Cheras, Jumaat lalu.
Tambah pelantun lagu Selamat Tinggal Sayang ini, konsert tersebut diadakan bagi membalas semula sokongan yang tidak pernah putus daripada peminat.
“Kepuasan lebih penting daripada wang ringgit. Selama ini, peminat sendiri tidak berkira dengan saya.
"Mereka tidak lokek untuk mengeluarkan duit dan tetap datang memberikan sokongan walau di mana saya menjayakan persembahan.
“Jadi, kenapa saya nak berkira dengan meletakkan harga tinggi?
"Apabila peminat puas dan terhibur, ia sudah dikira nikmat besar untuk saya. Soal duit, saya tolak ke tepi.
“Selepas lebih tiga tahun aktif dalam dunia seni, apa yang saya kecapi hingga kini berkat sokongan peminat.
"Saya pernah jatuh tahun lalu namun mereka tetap utuh di belakang,” katanya lagi.
Must-Watch Video