Berita
"Hargailah Suami Masing-Masing Walaupun Dia Bukan..." - Da'i Wan Dazrin Akui Tak Semua Mampu Jadi Seperti Ustaz Ebit Lew
Pendakwah bebas, Da'i Wan Dazrin menasihati golongan isteri agar terus menghargai suami masing-masing dalam menjalankan peranannya sebagai ketua keluarga.
Menurut Da'i Wan, masih ramai lagi lelaki di luar sana yang cuba menjadi suami terbaik biarpun mereka mungkin tidak mampu menjadi seromantis Ustaz Ebit Lew termasukkah dirinya.
"Memang tak semua suami mampu menjadi seperti Ustaz Ebit Lew tapi, ketahuilah masih ada suami di luar sana yang telah cuba sebaiknya menjadi suami yang terbaik untuk keluarganya.
"Maka hargailah suami masing-masing walaupun dia bukan sepenyayang dan seromantis Ustaz Ebit Lew yang kita kasihi," katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Sebelum ini, Ebit Lew banyak berkongsi momen romantis di Instagram melayan isterinya bagaikan seorang bidadari.
Tindakannya itu mendapat perhatian netizen yang kagum dengan cara Ebit Lew menghargai pengorbanan jasa wanita yang merupakan ibu kepada anak-anaknya.
Biarpun begitu, kata Wan Dazrin, dia bersyukur apabila dikurniakan seorang isteri yang cukup menghargainya apabila menjalankan tanggungjawab menguruskan anak di rumah.
"Saya bersyukur @syahirah_zamzari benar-benar memahami penat saya di rumah menjaga anak walaupun dia penat bekerja di hospital merawat manusia.
"Setiap hari dia akan tanya, saya dah makan dah, dan cerita saya pada dia setiap hari juga akan sama.
"Bukan tak boleh hantar pengasuh, tapi daripada awal Aleesa dalam kandungan, dari situlah sudah mula terasa di hati untuk memberikan yang terbaik sebagai seorang suami dan ayah," ceritanya.
Menurutnya lagi, sebagai pasangan suami isteri, masing-masing perlu bekerjasama antara satu sama lain dalam menguruskan rumah tangga.
"Sebagai suami, saya nak tunjukkan pada kalian, betapa pentingnya menghargai dan bekerjasama satu sama lain. Penat masing-masing itu perlu dihargai sesama dengan cuba tolong, cuba ringankan," katanya.
Wan Dazrin berkahwin dengan Syahirah pada 17 Mac 2018 dan dikurniakan anak sulung, Aleesa pada Februari lalu.
Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!