BERITA
"Hari-Hari Stres Fikir Berat Badan" - Tasha Manshahar Nak Makan Ubat Kurus?
Penyanyi Tasha Manshahar memberitahu bahawa dia tertekan dengan perubahan dirinya yang mengalami masalah berat badan selepas bersalin anak sulung Jun lalu.
Tasha atau nama sebenarnya, Nadia Natasha Mohd. Manshahar, 27, mengakui situasi itu secara tidak langsung menyebabkan dia terfikir jalan penyelesaian untuk mengambil pil kurus.
"Saya rasa saya patut henti terlalu memaksa diri untuk kurus dalam masa yang singkat. Hari-hari stres fikir berat badan. Selera makan makin membuak-buak.
"Kadang-kadang mengadu dekat Raqib pasal ni sambil mengunyah. Saya punya tahap stres sampai saya rasa nak makan ubat kurus! Ya Allah, tekanan mengenai perubahan fizikal semasa mengandung dan lepas bersalin ni memang real ya!," luahnya menerusi satu entri di Instagram.
Menurut pelantun lagu Terima Kasih Cinta itu, dia juga bimbang sekiranya berat badan yang tidak terkawal boleh menjejaskan kesihatan dirinya.
"Saya nak turunkan berat badan sebab saya dah terlebih berat ni. Dah banyak baju saiz baju XX.
"Saya perlu mula untuk menjaga diri saya, dengan memastikan saya sihat dan gembira untuk menjalankan tugas saya sebagai ibu, isteri dengan lebih baik.
"Kalau kita jalani gaya hidup sihat, insya-Allah berat ideal tu akan perlahan-lahan dapat dicapai. Kan?," tulisnya.
Ekoran perkongsian Tasha itu, rata-rata memberikan sokongan kepadanya yang menyifatkan apa yang dilalui itu adalah sesuatu yang normal.
"Kalau kita menyusu badan baby memang kita akan cepat lapar dan asyik nak mengunyah je. Ada orang senang turun apabila anak susu badan sebab dia sedut lemak kita," pujuk salah seorang netizen.
Tasha mendirikan rumah tangga dengan bekas peserta Akademi Fantasia 9, Fahrur Raqib Abdul Majid, 29, pada 8 September 2018.
Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan cahaya mata sulung, Muammar Rafiqi pada Jun lalu.
Must-Watch Video