Keraguan dalam ujian kendiri Covid-19 sering dipertikaikan apabila ia berubah-ubah dalam tempoh beberapa hari sahaja.

Bagi menjelaskan sebab dan mengapa ia berlaku, suami pelakon Ummi Nazeera yang juga seorang doctor iaitu Dr Izzar tampil memberi panduan yang betul untuk melakukan ujian kendiri berkenaan.

“Mula- mula kita kena faham bahawa ujian kendiri COVID-19 juga adalah ujian antigen (RTK-AG). Ada dua faktor penting dalam memberi keputusan ujian kendiri yang tepat iaitu hari ujian dibuat dan viral load.

“Self-test ni bergantung kepada tempoh jangkitan semasa sampel diambil dan mempunyai sensitiviti yang ‘sederhana ke tinggi’ semasa viral load tu tinggi,” katanya.

Dr. Izzar berkongsi perkara itu di akaun Instagram miliknya.

Jelasnya, untuk membuat ujian kendiri ia perlu masa yang sesuai supaya keputusan itu akan dapat dengan tepat.

“Maksudnya, waktu terbaik untuk membuat ujian kendiri adalah semasa viral load orang tu tinggi. Kalau viral load tak cukup tinggi, ujian kendiri tu tak dapat mengesan pun Covid-19 dan akan menunjukkan keputusan negatif walaupun orang tu sebenarnya positif.

“Jadi, macam mana kita nak tahu bila viral load kita ni tinggi? Bila kita dijangkiti dengan Covid-19, viral load dalam badan akan bertambah dan memuncak dari 3 ke 5 hari selepas hari terdedah dengan orang positif. Tempoh 3-5 hari inilah waktu yang paling sesuai nak buat ujian kendiri,” jelasnya.

Justeru Dr. Izzar memberitahu keperluan membuat ujian kendiri Covid-19 (RTK-Ag) ini perlu dilakukan selepas tiga sebab iaitu terutamanya selepas bergejala.

“Buat ujian dalam tempoh 3 hingga 5 hari selepas bertemu kes positif C-19 yang kita tahu. Bukan buat terus lepas jumpa. Isolasikan diri dahulu.

“Selain itu, buat lah ujian apabila sudah bergejala.

“Terakhir sekali buat ujian menggunakan kit yang diperakui MDA(Medical Device Authority) dan ikut arahan penggunaan dengan betul,” kongsinya.

A post shared by Dr. Izzar Anwari (@izzar)