Laman Utama

Harris Alif, Aisha Retno & Ramai Lagi Beri Nafas Baru Pada Lagu Selamat Hari Raya!

gempak
Asraf Aided
13/05/2021
07:45 MYT
Sponsor Banner
Harris Alif, Aisha Retno & Ramai Lagi Beri Nafas Baru Pada Lagu Selamat Hari Raya!
Meskipun situasi pandemik COVID-19 membatasi acara tradisi kunjung-mengunjung, namun bahang kemeriahan Syawal tahun ini masih dirasakan dengan cara tersendiri.
Justeru, Sony Music Malaysia tampil menyemarakkan mood beraya tahun ini dengan versi segar Selamat Hari Raya.
Menampilkan penyanyi muda Aisha Retno, Bael0n, Harris Alif, Khodi, Liesl Mae, Qiff, Rasyad, Syabil, dan Vanessa Reynauld, semestinya aura dibawakan lagu ini cukup tersendiri.
Lagu nyanyian asal biduanita negara Allahyarham Puan Sri Saloma ini sememangnya tinggi nilai estetika serta tidak lapuk dek ditelan zaman.
Pembaharuan dibawakan lapan penyanyi terbabit membawa Selamat Hari Raya ke dimensi lebih moden. Berbekalkan paduan suara dengan warna berbeza, versi baharu ini adalah perwakilan kepada nuansa muzik generasi milenium terkini yang juga popular dengan terma millennial.
Dipertanggungjawabkan sebagai penerbit muzik dan komposer Euwyn Tan mengakui inspirasi susunan muzik yang digubahnya bersama Ross Farren cukup moden.
Bagaimanapun, mereka semestinya masih menekankan keaslian dan mood asalnya yang ceria dan bertepatan dengan suasana tradisional sambutan Aidilfitri.
“Saya ingin mencipta susunan yang moden tetapi masih mengekalkan elemen tradisional dan ceria. Saya mengambil inspirasi daripada lagu Valerie oleh Amy Winehouse yang popular dan juga senang untuk didendangkan. Muzik kumpulan acapella Pentatonix juga menjadi inspirasi penting memandangkan saya bekerja dengan ramai penyanyi,” katanya.
Tambah Euwyn, dia seronok menyaksikan paduan suara lapan penyanyi itu dan tidak melihat ia sebagai satu cabaran.
“Semua penyanyi yang terbabit mempunyai suara suara unik dan disebabkan itu, lebih mudah untuk saya membahagikan bahagian mereka. Ada yang lembut, lantang, bernada tinggi dan rendah dan juga warna suara yang berbeza-beza membuatkan susunan vokal lebih menarik,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Euwyn juga berharap agar nyanyian semula Selamat Hari Raya ini dapat diterima baik oleh orang ramai.
“Kami mahu orang ramai menyanyi dan meraikan lagu Selamat Hari Raya ini sebagaimana kami dapat menyatukan lapan artis dalam sebuah karya ini. Ia juga adalah lambang perpaduan negara kita yang berbilang bangsa dan agama tetapi masih boleh berkumpul untuk menyambut Hari Raya sama-sama,” katanya.
Selamat Hari Raya boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024