Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Hasilkan Purnama Lebaran, Lagu Raya Pitahati Gamit Nostalgia

Maliah Surip
04/05/2021 08:20 MYT
Tidak mahu hanya 'berdiam diri' dan terus mengenang mood raya melalui karya karya evergreen, Pitahati mempersembahkan sebuah lagu sempena memperingati bulan kemenangan ini yang diberi judul Purnama Lebaran.

Menurut kumpulan Rock Nusantara ini, Purnama Lebaran merupakan lagu raya pertama yang dihasilkan oleh mereka dan telah dirakamkan mereka. Namun, projek ini diselesaikan pada saat gelombang pertama pandemik COVID 19 pada 2020.

"Perkara ini adalah sesuatu yang telah lama kian hilang dalam masyarakat Islam zaman sekarang.

"Kebanyakan orang hanya melihat Hari Raya itu sebagai sebuah perayaan dan bukan sebagai sesuatu yang melambangkan kemenangan insan dalam memerangi hawa nafsu dan sifat-sifat keduniaan," kata vokalis dan gitaris Pitahati, Ilham.

Ilham menambah, untuk menyampaikan mood dan jiwa yang terdapat pada lirik, Pitahati telah mengambil unsur-unsur lagu-lagu kerakyatan Melayu lama.

Hal ini dilakukan untuk menghadirkan perasaan nostalgia kepada pendengar; satu perasaan yang sering dialami orang apabila menyambut Hari Raya.

Purnama Lebaran sudah pun boleh didengari di semua platform streaming seperti Spotify dan Joox. Di samping itu mereka juga mempunyai sebuah video lirik yang boleh dilayari di YouTube.

Dalam perkembangan lain, Pitahati bakal melancarkan sebuah kolaborasi antara mereka dengan Ito, penyanyi daripada kumpulan lagenda Malaysia, Blues Gang. Kolaborasi ini akan disertai dengan sebuah MV, dan diharapkan akan dilancarkan untuk didengari orang ramai selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Selain itu, setelah lima tahun tanpa material baharu, Pitahati kini dalam proses pembikinan album yang dijangka keluar pada tahun ini.