Hiburan
"Hati Kecil Saya Sebak & Terusik Melihat Perjuangan Mereka ..." - Zara Zya Turun Padang Lihat 'Frontliners' Bekerja
Aktres Zara Zya akui berasa sebak selepas melihat sendiri bagaimana barisan hadapan negara (frontliners) bekerja bertungkus lumus bagi memerangi wabak Covid-19.
Menurut Zara, 'frontliners' tersebut terpaksa memilih untuk meninggalkan ahli keluarga dan memendam perasaan rindu demi tanggungjawab mereka pada negara.
"Alhamdulillah, saya bersama Team @zaraprihatin @ippohafiz & @prihatin4u turun padang ke Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (CREaTe) yang menjadi Stesen Pusat Kuarantin Covid-19 dan sempat meluangkan masa berjumpa 118 Frontliners yang sedang berjuang memutuskan rantaian Covid-19.
"Sepanjang bersama Frontliners, hati kecil saya sebak dan terusik melihat perjuangan mereka yang terus berjuang tanpa henti untuk memerangi pendemik Covid-19.
"Walaupun mereka sentiasa mengukir senyuman dan disambut dengan tawa hilai sepanjang 3 jam kami berceloteh serta berkongsi pengalaman mereka di Pusat Kuarantin, namun jauh di sudut hati masing-masing, mereka memendam perasaan rindu untuk bersama keluarga tercinta yang ditinggalkan hampir sebulan ini," kongsinya di Instagram (IG).
Dalam pada itu, pemilik nama Zainurul Razia Mohd Zainuddin turut mengucapkan ribuan terima kasih atas perjuangan yang dilakukan demi keselamatan semua orang.
"Terima kasih kepada @prihatin4u AG Prestige, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang memberi peluang kepada Zara Prihatin untuk turut sama merasai denyut nadi perjuangan Petugas dan Sukarelawan Barisan Hadapan Covid-19.
"Terima kasih jua kepada pejuang-pejuang frontliners KKM, APM, PDRM, ATM, JKM, JKR dan agensi-agensi lain yang bertungkus lumus siang dan malam berjuang melawan musuh yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar ini.
"Saya mengajak kalian semua teruskan sumbangan ke Pertubuhan Prihatin Tanpa Sempadan kerana sumbangan anda memberi 1001 makna buat frontliners yang berjuang," tulisnya lagi.
Sekadar makluman, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai Rabu (18 Mac) hingga 14 April 2020, di seluruh negara.
Malaysia terpaksa akur selepas kes Covid-19 kini mencecah 3,793 orang dengan 62 rekod kematian setakat 6 April.
Justeru, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan perkara yang boleh mencegah COVID-19!
Must-Watch Video