Drama rantaian satu jam Hati Yang Dikhianati telah melewati kemuncak dalam penceritaan lebih 100 episod dan melabuhkan tayangan dengan lebih 145 episod.

Malah pada episod ke-138 yang ditayangkan pada 8 Mac lalu, ia telah mencatat rekod baru di dalam Astro Prima sebagai drama rantaian satu jam yang paling panjang sejak penubuhan slot Tiara.

Drama adaptasi dari siri terkenal Venezuela ini dibintangi oleh Amar Baharin, Isyariana, Mona Allen, Zamarul Hisham dan ramai lagi disuntik dengan kehadiran Elizad Sharifudin dan Iqram Dinzly pada episode 100 ke atas juga membawa perubahan besar pada cerita dan takdir setiap watak.

Telah menjalani penggambaran selama 16 bulan dan mengharungi 2 PKP, bintang utamanya, Amar melahirkan rasa bersyukur kerana berjaya melunaskan tanggungjawab yang diberi dengan sebaiknya.

“Alhamdulillah syukur Allah izinkan kami selesaikan amanah kami sebagai film maker dengan lancar tanpa sebarang masalah besar,” katanya kepada Gempak.

Amar kemudian menyifatkan semua hal yang dilalui bersama pihak penerbit, Global Station dan kru produksi ini sebagai sebuah pencapaian yang membanggakan.

“Bagi saya ini satu pencapaian yang amat membanggakan. 147 episod, 14 bulan, 75 bersama barisan pelakon dari Melaka sampai ke Perlis dalam musim pandemik? Saya percaya tak ramai yang sanggup lalui perjalanan yang panjang seperti ini.

“Ini satu rekod terpanjang secara peribadi bagi saya dan pihak produksi serta Astro. Dan diberi tanggungjawab membawa watak utama dalam naskhah terpanjang ini adalah sebuah penghormatan buat saya,” ujar Amar yang memuji komitmen terbaik semua pihak di dalam menjayakan naskhah ini.

Sementara itu Penerbit Eksekutif Global Station, Alia Rami juga mengucapkan syukur kerana Hati Yang Dikhianati telah memecahkan rekod naskhah terbitan mereka sendiri iaitu Memori Cinta Suraya yang sebelumnya ditayangkan dengan 137 episod, juga di Astro Prima.

“Alhamdulillah, HYD berjaya sehingga 146 episod melepasi MCS dengan 137 episod. Terima kasih kepada penonton yang setia menonton dari episod 1 sehingga kini. Skrip drama ini diolah mengikut apa yang penonton inginkan,” katanya.

Menurut Alia lagi kekangan yang dihadapi sewaktu menggarap naskhah ini tidak membuat mereka patah semangat, sebaliknya diambil dengan positif.

“Cabaran HYD ialah kami berdepan dengan 2 kali PKP. Penggambaran back to back dengan kes covid. Bila PKP, kita ‘berpindah’ ke Perlis, contoh rumah semua bertukar.

“Malah script yang on going mengikut feedback penonton juga merupakan satu cabaran untuk kami.

“Tapi kami akan terus menerbitkan drama bersiri panjang selagi mendapat kepercayaan stesen dan penonton. Kami percaya akan keberkesanan drama panjang akan sentiasa melekat di hati peminat,” ikrarnya.