Personaliti televisyen Hawa Rizwana Redzuan serik apabila berdepan detik cemas dikejar sekumpulan anjing ketika beriadah pada Jumaat.

Lebih menakutkan apabila Hawa terpaksa menumpang kenderaan individu tidak dikenali demi menyelamatkan diri.

"Nak jogging lepas tu ternampak anjing banyak, cuba teruskan lepas tu anjing itu kejar. Saya pun larilah.

"Alhamdulillah ada kereta banyak dan berhenti, saya terus masuk tak fikir apa-apa dah takut punya pasal. Hanya nak lepaskan diri daripada anjing-anjing itu.

"Kemudian minta dia ke depan sikit dan saya turun. Lepas itu baru terfikir apa yang saya dah buat? Cuba kalau orang itu ada niat tak baik?" katanya kepada Gempak.

Situasi itu membuatkan Hawa lebih berwaspada terutama untuk beriadah seorang diri selepas ini.

"Serik juga terutama kedua-dua ibu bapa saya. Mereka sangat risaukan saya.

"Jadi, saya belajar daripada apa yang berlaku untuk tidak lagi berjogging seorang diri selepas ini. Memang taubatlah!" tambah Hawa.

Hawa turut memuatnaik status berkenaan di akaun Twitter rasminya pada Jumaat dan mendapat respon daripada peminatnya yang risau akan keselamatannya.