HIBURAN

Hawa Rizwana Terkejut Dengar Kanak-Kanak Keluar Kata-Kata Kesat - “Baru Umur 9, 10 Tahun, Bercakap Seolah Perkara Biasa…”

Mya Amri 18/07/2025 | 14:55 MYT
Pengacara MeleTOP, Hawa Rizwana meluahkan rasa terkejut selepas mendengar sekumpulan kanak-kanak menggunakan kata-kata kesat secara terbuka ketika berada di sebuah taman, baru-baru ini.

Terkejut dengar kanak-kanak mencarut


Menerusi satu perkongsian di platform Threads, Hawa berkata situasi tersebut membuatkan dia terdiam seketika.

Jelas Hawa lagi, kanak-kanak usia sekumpulan budak lelaki itu dianggarkan sekitar 9 hingga 10 tahun.

“Saya sedang berjalan di taman tadi dan terdengar budak-budak umur sembilan ke 10 tahun bercakap kasar seolah-olah ia perkara biasa. Perkataan yang sangat kesat. Saya terus terdiam sekejap,” tulisnya.

Pengaruh media sosial


Dalam hantaran yang sama, Hawa berpendapat pendedahan awal kepada media sosial mungkin menjadi antara punca utama mengapa kanak-kanak zaman sekarang semakin terbiasa dengan bahasa yang tidak sesuai digunakan pada usia mereka.

“Saya rasa media sosial memberikan pengaruh yang sangat besar terhadap mereka… Lebih daripada apa yang kita sedar.


“Kepada mereka yang menjadi perhatian umum, tolong lebih berhati-hati. Anak-anak kecil sedang memerhati dan mereka sedang belajar,” ujarnya lagi.

Perkongsian Hawa itu menerima pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya bersetuju dengan pandangannya.

Malah mereka juga turut menyuarakan kebimbangan tentang kesan trend dan kandungan media sosial terhadap pembentukan akhlak generasi muda masa kini.
#Kanak Kanak #Hawa Rizwana