Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Hayati Suka Duka e-sukan Malaysia dalam Dokumentari Jalur 14

Maliah Surip
17/11/2020 01:10 MYT
Hala tuju e-sukan negara semakin menunjukkan impak yang cukup besar saban hari, bukan sahaja dalam kalangan negara Asia malah di seluruh dunia.

Melihat kepada kehebatan dan kesungguhan perjalanan bagi pemain industri e-sukan dalam negara, saluran dan platform e-sukan Astro, eGG Network berganding bahu dengan Esports Interacted (ESI), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Impact Integrated dengan menghasilkan satu siri dokumentari khas mengenai kebangkitan dunia e-sukan di negara ini.

Siri dokumentari yang berjudul Jalur 14, dokumentari yang mempunyai lima siri itu akan mengumpulkan kisah pahit manis para pejuang e-sukan sepanjang 14 tahun berhempas pulas mengharumkan nama negara.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, industri itu dikenal pasti antara yang mampu menjana ekonomi, dan pada masa yang sama melahirkan bakat terkenal tempatan yang berpotensi untuk ke peringkat global.

“Saya mahu menggalakkan keterangkuman dalam ekosistem ini. Saya mahu pemain dari kawasan pedalaman juga mempunyai peluang untuk bertanding.

“Wanita muda kita menceburkan diri dengan aktif dalam bidang ini. Saya mahu kesemua lapisan masyarakat, tua atau muda, untuk sama-sama menunjukkan minat dalam e-sukan.

“Tetapi dalam usaha kita untuk memupuk ekosistem yang meriah, mampan, dan inklusif, kita harus memahami sejarah e-sukan Malaysia, dan mampu mengenal pasti arah dan hala tuju industri tersebut di negara ini,” jelas Reezal.

Mengulas mengenai dokumentari itu, Reezal Merican berkata, ia diharap dapat memberi pemahaman yang lebih mendalam kepada semua pihak, dan juga untuk memberi inspirasi bagi melahirkan lebih ramai atlit berbakat.

Jalur 14 menceritakan tentang 14 ikon Malaysia termasuk pemain terkenal di peringkat dunia, Chai ‘Mushi’ Yee Fung, Ng ‘YamateH’ Wei Poong dan pemenang pingat emas e-sukan pertama, Dr. Yew Weng Kean.



Turut tidak ketinggalan ialah pemain pelapis muda seperti Mohd Fariz Zakaria atau lebih dikenali sebagai ‘Soloz’, Ahmad Fuad Razali atau ‘Fredo’, Andriyana Mohamed Ghazali iaitu ‘Chuchu Gaming’, dan ramai lagi.

Dari takuk ‘zero’ sehinggalah diangkat menjadi ‘hero’, kesemua mereka ini akan berkongsikan kisah perjuangan, cabaran dan pengalaman sepanjang perjalanan mereka dalam e-sukan demi mengibarkan Jalur Gemilang ke persada dunia.

Ketua Sukan Astro Lee Choong Khay berkata, siri dokumentari itu menunjukkan kesungguhan Astro untuk memupuk bakat baharu dalam industri e-sukan.

Jalur 14 merupakan idea yang bercita-cita tinggi untuk mendedahkan kisah rakyat Malaysia yang telah memperjuangkan industri e-sukan negara ini.

“Selepas perancangan selama berbulan-bulan lamanya, kami sangat teruja untuk berkongsi kisah 14 individu yang telah memberi impak kepada industri melalui dokumentari lima siri ini.

“Kami mahu kisah mereka didedahkan bukan sahaja kepada penonton di Malaysia, tetapi juga di negara-negara serantau yang boleh mengakses kandungan eGG Network.

Ujarnya lagi, tayangan siri itu akan mendedahkan bahawa e-sukan bukan semata-mata permainan video atau telefon bimbit, tetapi ia turut menceritakan impak kesemua 14 individu berkenaan dalam pembangunan industri itu.

“Kami sangat gembira kerana Kementerian terus menyokong perkembangan industri ini melalui pelbagai inisiatif.

“Dan kami di Astro komited untuk bersama-sama melahirkan bakat baharu, yang akan mencipta nama bukan sahaja untuk mereka, tetapi juga untuk arena antarabangsa,” tambah Choong Khay.

Ketua Pegawai Eksekutif Impact Integrated, Ahmed Faris Amir pula menjelaskan bahawa pihaknya gembira mempunyai rakan seperjuangan seperti eGG Network yang berkongsi matlamat dalam membina industri e-sukan di Malaysia.

“Sebilangan kisah yang dikongsi dalam Jalur 14 memperlihatkan perlunya ekosistem e-sukan yang lestari.

“Kami berharap lebih banyak pemain industri akan melakukannya bersama kami dalam perjalanan ini untuk membuat struktur yang menyediakan pelbagai peluang dalam rantaian industri," jelas beliau.

Jangan terlepas tonton episod pertama Jalur 14 pada 26 November 2020, 9 malam di saluran eGG Network Astro CH800, khas kepada semua pelanggan Astro.


#Astro #E Sukan #Jalur 14
;