Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

Hazama Bakal Tamat Zaman Bujang Bulan Depan

Kamaruddin Razal 24/11/2016 | 10:40 MYT
Penyanyi lagu Penglipurlara, Hazama Ahmad Azmi, 32, merancang untuk menamatkan zaman bujang dengan kekasihnya, Genervie Kam, 36, pada bulan hadapan.
Penyanyi kelahiran Akademi Fantasia musim kesembilan itu telah berkasih dengan Genervie selama empat tahun dan bakal menjalani kursus perkahwinan awal bulan hadapan.
"Saya berhasrat untuk bernikah dahulu pada Disember ini. Saya berharap agar pernikahan itu akan mengelakkan fitnah dan kata-kata orang mengenai hubungan yang terjalin antara saya dan kekasih.
"Syukur Alhamdulillah, kekasih saya kini dalam proses untuk memeluk agama Islam dan keluarga kekasih saya menerima saya dengan sebaiknya," kata Hazama.
Tambah Hazama, dia mendahulukan majlis pernikahan dan majlis persandingan hanya akan difikirkan kemudian.
"Bukan saya tidak mahu mengadakan majlis persandingan secara besar-besaran, namun perkara tersebut tetap berbalik kepada keadaan ekonomi dan kewangan. Lebih elok jika berjimat.
"Saya dan kekasih akan mengadakan majlis pernikahan secara tertutup. Mungkin saya dan kekasih akan bernikah di masjid atau pejabat agama sahaja. Selepas majlis, saya akan maklumkan di laman sosial Instagram,” katanya lagi.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Sumber: BH Online
#Nikah #Hazama #Hazama
;