Hazama Tak Tahu Pun Bila Saya Peluk Islam - Genervie Kam

Kamaruddin Razal
Januari 16, 2017 10:53 MYT
Isteri kepada penyanyi Hazama, pemuzik Genervie Kam mendedahkan suaminya tidak tahu bilakah tarikh dirinya memeluk agama Islam.
“Sebenarnya, saya sudah lama memeluk agama Islam. Saya sudah melakukan perkara tersebut sekitar tahun lalu di pertengahan tahun 2016 selepas selesainya program Mentor Milenia.
“Hazama sendiri pun tidak tahu bilakah waktunya saya memeluk Islam. Saya beritahu Hazama berita ini sebagai satu kejutan untuk dirinya,” kata Genervie.
Tambah Hazama, walaupun isterinya sudah memeluk agama Islam, Genervie masih mengekalkan nama sebenarnya, Kam Shi Ling.
“Isteri saya masih mengekalkan nama sebenarnya. Bagi saya, nama hanya sekadar nama dan perkara tersebut tidak penting kerana tidak melambangkan apa-apa pun. Apa yang penting, isteri saya sudah memeluk agama Islam dan hatinya masih sama seperti dahulu,” kata Hazama.
Dalam pada itu, Hazama dan Genervie masih tidak mempunyai sebarang rencana untuk berbulan madu selepas berkahwin.
“Saya dan isteri akan sama-sama sibuk selepas ini. Kami belum lagi mempunyai sebarang perancangan untuk berbulan madu. Pada hujung minggu ini, kami akan terlibat dengan Anugerah Juara Lagu 31.
“Selepas itu, saya pula akan sibuk dengan Mentor Milenia musim terbaru sehingga bulan Mei. Pada bulan Jun pula, umat Islam sudah mula berpuasa. Mungkin kami akan hanya berbulan madu di backstage AJL nanti,” seloroh Hazama mengakhiri perbualan.
Hazama bakal beraksi membawakan lagu Di Amaran Mama di pentas Anugerah Juara Lagu 31 pada 22 Januari jam 9.00 malam di TV3.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
#Nikah #Hazama #Genervie Kam #Hazama