Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Hebat Berlakon, Neymar 'Buang Masa' 14 Minit Atas Padang

Rozaimi Zubaidi
06/07/2018 07:10 MYT
Pemain Brazil, Neymar telah dikecam teruk gara-gara tindakan 'lakonan' melampaunya di atas padang sepanjang kempen Piala Dunia 2018.

Menerusi satu kajian yang dilakukan stesen televisyen di Switzerland, RTS Sport, melaporkan Neymar telah terbaring selama 14 minit di atas padang sepanjang aksinya di Russia sekali gus mencetuskan rasa bengang pemain lawan.

Pada perlawanan menentang Mexico pada 2 Julai lalu, dia terbaring keseluruhan selama lima minit dan 29 saat dengan tempoh paling lama perlawanan dihentikan apabila pemain Mexico, Miguel Layun dikatakan memijak buku lali kanan Neymar.

Ketika insiden berkenaan, Neymar terbaring untuk tempoh hampir dua minit berdasarkan laporan RTS.

RTS juga melaporkan bahawa penyerang itu turut terbaring di dalam padang hampir dua minit ketika menentang Serbia dan tiga minit 40 saat ketika menentang Switzerland.

Keseluruhan masa 'kecederaan' yang dialami Neymar itu adalah 13 minit 50 saat sejak kejohanan bermula.

Sememangnya pemain lawan gemar menggunakan fizikal untuk mengekang pergerakan Neymar namun ada yang melihat tindak balas pemain itu agak keterlaluan.

Jurulatih Mexico, Juan Carlos Osorio menggelar Neymar sebagai 'badut' selepas Layun memijak kaki pemain itu dengan menyatakan "kami mengawal permainan tapi bagi saya ia memalukan apabila banyak masa terbuang angkara seorang pemain."

Sumber: BH Online
#Piala Dunia 2018 #Neymar #Pemain Brazil
;