Sejak ditayangkan pada 5 Ogos lalu, filem Hutang 2D tidak berganjak dari mengungguli carta nombor 1 filem Astro First.

Sepanjang tayangannya tiada filem yang dapat mengatasi Hutang 2D termasuk Mat Bond Malaya yang sebelum ini berada di tempat pertama carta.

Ia pencapaian yang baik buat Hutang 2D kerana filem yang diterajui oleh ahli kumpulan Floor 88 itu nampaknya menjadi kegemaran penonton sejak ia ditayangkan lebih 10 hari lalu.

Mana tidaknya, filem yang segar dengan jalan cerita dekat dengan penonton iaitu subjek hutang itu menyaksikan kehebatan ahli Floor 88 iaitu Ayie Elham, Eric Fuzi, Akram K, Falique Ghazali, Zai Hamzah dan Amirul Afeeq dalam bidang lakonan.

Bukan itu sahaja, filem aksi komedi itu menjadi tarikan penonton apabila turut dibintangi oleh pelakon hebat lain seperti Baby Shima, Black Hanafiah, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Ropie, Altimet, Wafiy Ilhan dan Coki.

Selain itu, buat pertama kalinya anggota lain Floor 88 iaitu Eric Fuzi turut melebarkan bakatnya dalam pengarahan filem. Beliau bersama pengarah Irwan Rauf merupakan pengarah untuk Hutang 2D.

A post shared by Astro Shaw Sdn Bhd (@astroshaw)

Hutang 2D mengisahkan tentang Ayie (Ayie Elham), seorang pelukis webtoon yang kuat berangan dan bersifat pengecut. Hubungan Ayie dan ayahnya, Pak Jie (Ropie) tidak mesra, bahkan bakat melukisnya juga sering dipandang rendah oleh Pak Jie. Itu membuatkan Ayie rasa sedih dan kurang keyakinan, termasuklah memendam rasa terhadap jirannya, Shima (Baby Shima).

Sementara itu, Pak Jie banyak berhutang dan sering diganggu oleh dua orang gangster, Han (Black) dan Kit (Wafiy Ilhan). Apabila Pak Jie diserang di rumahnya, Ayie terus menyembunyikan diri. Segalanya berubah apabila Ayie bertemu dengan Gua Mambang (Altimet) dan telah menghadiahkan sebuah ‘tablet’ ajaib.

Ayie mendapati setiap lukisannya di tablet itu akan menjadi kenyataan. Kemudian, Ayie mencipta rakan-rakan baru dengan mempunyai kuasa ‘superhero’ yang luar biasa agar dapat membantunya menyelesaikan masalah hidupnya.

Saksikan filem terbitan Arie Zaharie Production bersama Knack Knack Studios ini terus ke Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 sejak 5 Ogos 2021.