Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Hebat! Masuk Kejohanan Senyap-Senyap, Netizen Terkejut Tom Hardy Menang Emas Dalam Seni Mempertahankan Diri Jiu-Jitsu

Azwa Rahman
23/09/2022 07:48 MYT
Bintang Venom, Tom Hardy mencuri perhatian ramai apabila menyertai sebuah kejohanan seni mempertahankan diri, Kejohanan Terbuka Jiu-Jitsu UMAC 2022 yang diadakan di England secara senyap-senyap.

Memetik laporan CNN, aktor kacak berusia 45 tahun itu muncul di kejohanan tersebut menggunakan nama sebenarnya, Edward Hardy di lokasi kejohanan di sebuah dewan sekolah bertempat di Milton Keynes, England.

Menurut jurucakap penganjur yang juga merupakan pengadil pertandingan, Mohamed Itoumaine, Hardy telah bersetuju untuk mengambil bahagian dalam pertandingan itu berikutan penampilan yang tidak diketahui umum di Kejohanan Jiu-Jitsu Terbuka REORG bulan lalu.

“Saya teruja dan kagum apabila dia memberitahu ketika kejohanan bulan lalu yang dia akan menyertai pertandingan hari ini. Dan dia mengotakan janjinya. Susah untuk mendapatkan seorang selebriti untuk datang ke pertandingan lokal kerana jadual mereka yang sibuk,” ujar Itoumaine kepada CNN.

Lebih istimewa apabila Hardy turut mendominasi peringkat kumpulan dan seterusnya melayakkan dia ke peringkat seterusnya sehingga berjaya memenangi pingat emas.

Tambah Itoumaine lagi, Hardy merupakan seorang yang sangat berkemahiran dalam seni mempertahankan diri asal Brazil itu.

“Saya mempunyai 10 tahun pengalaman menjadi pengadil dan pertama kali melihat dia bertanding di kejohanan REORG, saya tahu dia boleh beraksi dengan hebat dalam pertandingan ini.

“Untuk capai tahap kemahirannya dalam Jiu-Jitsu, ia memerlukan dedikasi dan kerja keras. Dia sememangnya berteknik, kuat dari segi fizikal dan mental untuk seni mempertahankan diri ini. Dia mahu menang dalam cara yang paling terbaik,” jelasnya lagi.

Sekadar info, Hardy merupakan pemegang tali pinggang biru dalam Jiu-Jitsu.

#Tom Hardy #Tom Hardy Jiu-Jitsu #Tom Hardy juara Jiu Jitsu
;