Terkenal dengan vokalnya yang mantap, penyanyi Idayu muncul dengan karya terbaru berjudul Jangan Menangis Cinta.

Lagu tersebut adalah hasil tulisan Siti Rosmizah dan digubah oleh Mohariz Yaakup.

Menurut penyanyi kelahiran Akademi Fantasia musim ketiga ini, ciz akui bahawa penjiwaan dalam nyanyian adalah satu aspek yang sangat penting untuk mempersembahkan naskah Jangan Menangis Cinta dengan berjaya.

Jelas Idayu atau nama sebenar Nur Farah Idayu Yaakob, lagu tersebut menceritakan tentang kisah sesebuah percintaan atau perhubungan suami isteri yang tidak pernah menghargai pasangan masing-masing.

"Lagu ini menceritakan tentang hubungan dalam percintaan atau perhubungan suami isteri yang tidak pernah menghargai pasangan masing-masing.

“Dalam perhubungan itu, salah seorang tidak bahagia dan pasangannya pula mendustai hubungan mereka.

"Ketika rakaman lagu ini, saya cuba membawa watak seperti dalam lirik yang ditulis dengan indah oleh Kak Siti Rosmizah.

“Membawa jiwa dalam nyanyian adalah lebih berat. Dengan berkat bimbingan Abang Mohariz dan Afif Tirmizie sebagai penerbit vokal, saya berjaya melakukannya,” katanya.

Tambah Idayu, dia menerima tawaran daripada Mohariz untuk menyanyikan lagu tersebut setelah mendengar demo yang dihantar kepadanya.

Melodi lagu yang indah membuatkan Idayu tertarik dan tidak mahu melepaskan peluang bekerjasama dengan komposer senior yang berpengalaman itu.

Selain keindahan melodi, Idayu juga merasakan Jangan Menangis Cinta mempunyai keunikan dan berbeza berbanding kebanyakan lagu-lagu pop Melayu yang sudah berada di pasaran negara ini.

“Saya mendapat panggilan daripada Abang Mohariz yang mahu memberi peluang untuk menyanyikan lagu ini. Saya menerimanya setelah beliau menghantar demo kepada saya. Melodi lagunya indah dan sangat menarik. Bagi saya inilah peluang bekerja dengan komposer senior dan berpengalaman. Sebelum ini Abang Mohariz pernah menulis lirik untuk lagu saya iaitu Kasih Yang Terpisah pada tahun 2005.

“Lagu yang ditulis ini sangat berbeza dari segi struktur ‘chord’ dan ‘flow’ lagunya. Ia sangat berbeza daripada lagu-lagu pop Melayu yang ada dipasaran sekarang,” jelasnya.

Difahamkan, proses rakaman pula, ia hanya mengambil masa satu jam memandangkan Idayu telahpun menghafal lagu tersebut sebelum hadir ke studio rakaman.

Idayu berharap agar para peminatnya juga peminat karya Siti Rosmizah dapat memberikan sokongan sebaik mungkin kerana Jangan Menangis Cinta adalah satu hadiah ikhlas dari hatinya.

Untuk makluman, Jangan Menangis Cinta adalah runut bunyi untuk drama 40 episod mengunakan tajuk sama (Jangan Menangis Cinta).

Drama Jangan Menangis Cinta dibintangi oleh barisan pelakon popular seperti Remy Ishak, Amyra Rosly, Yusuf Bahrin, Dato’ Jalaluddin Hassan, Rita Nadira, Lisdawati, Catriona Ross dan ramai lagi.

‘Jangan Menangis Cinta’ kini boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, JOOX Music, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.