Viral
Hebatnya Dugaan Seorang Wanita Bergelar Ibu
Seorang ibu tugasnya sangat berat. Apatah lagi mempunyai anak yang ramai dan pelbagai cabaran yang melanda diri. Bukan mudah untuk melakukannya seorang diri, tetapi tanggungjawab tetap diteruskan.
Kisah seorang ibu muda berusia 30 tahun dan mempunyai anak 6 orang yang masih kecil yang baru diceraikan suami sedang viral ketika ini.
Mula dikongsi oleh Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang di Facebook miliknya, saya cuba menghubungi beliau tetapi dia sedang berehat dan panggilan telefon hanya dijawab oleh pembantunya.
Mujur kita masih ada ramai insan berhati mulia seperti Uncle Kentang ini yang menjumpai mereka dan segera memberikan bantuan yang diperlukan.
"Bayangkan mereka tidur tujuh orang dalam kereta, kepanasan kerana penghawa dingin yang rosak selama lima malam, dan menumpang mandi di stesen Petronas Rasa.
"Kami bawa mereka ke Balai Polis Rasa untuk makan tengahari. Terima kasih PDRM dan OCS Rasa yang berhati mulia meminjamkan tempat menyuarat untuk mereka rehat dan makan. Sedih sangat, Anak kecil ini melekat pada saya macam kena gam," tulis Uncle Kentang yang merahsiakan wajah anak tersebut.
Menurut portal Zakat Selangor, wanita tersebut mempunyai 6 orang anak berumur 14, 10, 8, 3, 2, dan 5 bulan sedang dalam proses penceraian kerana kes ditangguhkan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Suami kepada wanita tersebut tidak pulang ke rumah lebih empat bulan sejak Februari lalu, dan wanita tersebut pulang ke kampungnya di Temerloh, Pahang sepanjang PKP kerana tidak mempunyai pekerjaan setelah diberhentikan majikan sejak bulan Mac.
Ketika kembali semula ke rumah sewanya, dia telah diminta keluar oleh pemilik rumah tersebut kerana tidak menjelaskan sewa yang tertunggak.
"Sedihnya ialah ibu kepada 6 orang anak itu ada kanser, seroang anak mempunyai masalah jantung, seorang anak OKU dan seorang ada masalah pernafasan. Cukup menyayat hati," tulis Uncle Kentang lagi.
Menurut laporan Lembaga Zakat Selangor, wanita tersebut disyaki menghidapi kanser payu dara tetapi belum menerima rawatan susulan lagi.
Manakala anak yang berumur 2 tahun mempunyai masalah jantung berlubang dan masih menerima rawatan susulan di Hospital Serdang 2 kali setahun.
Anak yang berumur 5 bulan pula menghidapi ketumbuhan di leher namun belum dapat dikenalpasti. Rawatan susulan di Hospital Selayang.
Dengan bantuan daripada Uncle Kentang, PDRM, Badan Bukan Kerajaan (NGO) Darul Jariyah dan Zakat Selangor, keluarga tersebut kini ditempatkan di sebuah hotel di Bukit Beruntung. Bayaran hotel tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Darul Jariyah.
Zakat Selangor turut memberikan sumbangan kecemasan RM500 bagi menampung keperluan ibu dan anak-anak sementara menunggu bantuan susulan dalam masa terdekat.
Menurut Lembaga Zakat Selangor lagi, hasil bancian mendapati wanita tersebut layak didaftarkan sebagai asnaf fakir.
Antara bantuan yang akan disalurkan adalah deposit dan sewa bulanan rumah, bantuan kewangan bulanan, bantuan makanan bulanan dan bantuan perubatan (rawatan bulanan).
Kredit: Facebook Kuan Chee Heng dan Lembaga Zakat Selangor