Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Hebatnya! Menangi Banyak Anugerah, C144 Cipta Sejarah Tembusi Hollywood

Mya Amri
16/02/2022 13:00 MYT
C144 mencipta sejarahnya tersendiri apabila filem bergenre thriller itu bakal ditayangkan di Noho7 Laemmle Theatre @Lankershim Boulevard, Hollywood April ini.

Menjadi filem Malaysia pertama yang akan ditayangkan di Hollywood tahun ini, C144 juga mempertaruhkan pelakon baharu antaranya Jackson Lee, Nor Mikhail dan Jasmine Ledder sebagai teraju utamanya.

Walaupun pihak produksi mengambil keputusan yang berani mengambil bakat baharu namun C144 telah pun memenangi empat anugerah antarabangsa iaitu Filem Terbaik dalam Alam Semula Jadi/Persekitaran/Hutan Liar (Karnival Filem Dunia Singapura 2021), Penulis Terbaik (Festival Filem Alternatif Kanada 2020), Sinematografi Terbaik (Festival Filem Eropah Sinematik 2021) dan Filem Cereka Terbaik (Festival Filem Eropah Timur 2020).

Ketua Pegawai Eksekutif Redboy Pictures, Terence berkata filem terbitan Redboy Pictures Sdn. Bhd ini juga sedang mengorak langkah ke arah matlamat mereka.

“Matlamat Redboy Pictures adalah untuk menjadi sebuah syarikat penerbitan filem antarabangsa dan mempromosikan filem Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Seiring dengan itu, Redboy Pictures juga telah mengumumkan projek filem baru bertajuk Metropolitian yang akan diterbitkan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Kenyir dengan kerjasama Tentera Darat Malaysia,” ujarnya.

Filem karya arahan Jack Wong ini bakal ditayangkan bermula esok, 17 Februari 2022 di 37 pawagam seluruh Malaysia dan turut menjelajah ke 12 negara termasuk Indonesia, Singapura dan Jepun.

Filem C144 yang menelan belanja RM1.9 juta menjalani penggambaran selama hampir dua bulan di Beruas, Perak; Bentong dan Raub, Pahang serta Kuala Lumpur.

C144 mengisahkan dua ahli perkhemahan amatur, Jason dan Kamal terjumpa tinggalan pesawat C-47B yang digunakan oleh tentera Amerika bagi menghantar bekalan makanan yang terhempas di Malaya pada 1945 semasa Perang Dunia Kedua.

Penemuan bersejarah itu membuatkan mereka mendapat keuntungan besar dengan cepat, malah, timbul idea mengadakan satu ekspedisi ke tapak nahas untuk pengembara yang ingin tahu mengenai penemuan tanpa mengetahui rahsia yang tersembunyi.
#Hollywood #C144 #Filem Thriller #Tembusi Hollywood