Hebatnya! Selain Malaysia, PASKAL The Movie Bakal Ditayangkan di Singapura, Brunei, China & Turki

Kamaruddin Razal
September 20, 2018 22:01 MYT
Filem PASKAL The Movie yang bakal menemui penonton di lebih 130 pawagam seluruh Malaysia bermula 27 September ini akan turut ditayangkan di negara Singapura, Brunei, China dan Turki.
Filem arahan Adrian Teh ini bakal menemui penonton di Singapura dan Brunei selepas dua minggu ditayangkan di negara ini manakala akan ditonton oleh peminat wayang di China dan Turki pada akhir Oktober.
"Saya gembira kerana filem PASKAL The Movie bukan sahaja boleh ditonton oleh rakyat Malaysia, malah mereka yang berada di luar negara.
"Saya berharap agar ia dapat membuka ramai pihak, terutamanya rakyat tempatan mengenai anggota elit yang selalu bersiap siaga menjaga keselamatan negara, lebih-lebih lagi di bahagian perairan.
“Filem ini juga menjadi perlambangan penyatuan masyarakat berbilang bangsa di Malaysia. Penampilan pelakon yang berbeza warna kulit serta kepercayaan melambangkan keadaan hubungan harmoni antara kaum," kata Adrian.
Filem PASKAL The Movie yang diterbitkan oleh Asian Tropical Films, GSC, Multimedia Entertainment, Granatum Ventures dan Astro Shaw ini bakal ditayangkan pada 27 September ini.
PASKAL The Movie berkisarkan mengenai kisah kejayaan anggota elit Pasukan Khas Laut (PASKAL), Tentera Laut Diraja Malaysia dalam Misi Pengaman PBB di Angola pada 1998 dan misi merampas kapal dagang MT Bunga Laurel daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.
Diinspirasikan dari kisah benar, filem ini dibintangi oleh Hairul Azreen, Ammar Alfian, Hafizul Kamal, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Theeban G, Henley Hii, Jasmine Suraya Chin dan ramai lagi.
Kepada mereka yang sudah tidak sabar untuk menantikan tayangan filem ini di pawagam, ada berita baik untuk anda!
Jadi orang pertama untuk menyaksikan filem ini dengan lebih awal dari tarikh tayangan sebenar!
Tonton filem PASKAL The Movie menerusi tayangan awal yang bermula pada Jumaat, Sabtu dan Ahad ini (21 September, 22 September dan 23 September)!
Jom, dapatkan tiket tayangan awal anda sekarang dan sama-sama saksikan pertempuran PASKAL The Movie di medan pawagam!
#Paskal #PASKAL The Movie