Hubungan cinta antara pengacara dan pelakon Hefny Sahad dan aktres Uqasha Senrose telah berakhir sekitar lapan bulan lalu.

Masih mengekalkan hubungan baik dengan keluarga bekas teman wanitanya, kini Hefny bergandingan dengan adik Uqasha, Raysha Rizrose dalam sebuah drama bersiri.

"Pada mulanya, saya rasa terkejut juga apabila diberitahu akan bergandingan dengan Raysha dalam drama tersebut.

"Terdetik dalam hati, adakah gandingan itu akan kelihatan kekok? Namun begitu, ketika kami melangkah ke set penggambaran, semuanya berjalan dengan lancar.

"Alhamdulillah, biarpun kami membawa watak sebagai pasangan kekasih, kami profesional. Hubungan saya dengan Raysha di luar set penggambaran pun baik-baik sahaja.

"Selepas berpisah dengan Uqasha, saya memang mengekalkan hubungan baik dengan ahli keluarganya. Saya tak nampak sebab mengapa saya harus memutuskan hubungan yang baik dengan mereka," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Cintaku Di Bumi Izmir baru-baru ini.

Selain Hefny dan Raysha, drama bersiri terbabit turut dijayakan oleh Nabila Razali, Syafie Naswip dan ramai lagi.

Diterbitkan oleh Creative Skill Solution, Cintaku Di Bumi Izmir bersiaran setiap Isnin dan Selasa jam 9 malam di HyppSensasi (Unifi TV saluran 116).