Pengacara dan aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi berasa bersyukur kerana berpeluang mendukung watak kecil dalam filem Bukan Cinta Malaikat arahan Aziz M Osman.

Menurut Heliza, walaupun hanya berlakon dalam tiga babak sahaja, ia sudah mencukupi buat dirinya yang sudah lama meninggalkan dunia lakonan.

“Saya sangat berbesar hati apabila dapat bekerjasama dengan Aziz M Osman untuk filem terbaharunya.

“Dalam filem ini, saya hanya memegang watak sebagai ketua rombongan kemanusiaan ke Syria dan ada dialog bersama dengan pelakon utama iaitu Nora Danish.

“Dalam babak lakonan itu juga, ia telah mengembalikan memori silam saya ketika menghantar bantuan kepada penduduk terjejas perang di Syria beberapa tahun yang dulu,” kata Heliza dihubungi Astro Gempak.

Katanya lagi, untuk jalan cerita yang sepenuhnya dia tidak dapat untuk mengulas lanjut kerana dia hanya fokus pada wataknya sahaja.

“Saya diberi watak ini pun secara tiba-tiba, apa yang saya tahu mengenai filem ini ialah terdapat kisah percintaan dan diselitkan juga babak memberi bantuan kepada mangsa peperangan.

“Apa-apa pun, saya gembira dan bersyukur dengan tawaran yang diberikan kerana watak ini sinonim dengan kehidupan saya yang aktif dalam aktiviti kemanusiaan,” katanya.

Dalam pada itu, Heliza menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk meghulurkan bantuan kepada penduduk di Syria yang semakin meruncing dan bilangan kematian semakin meningkat.

Sebarang maklumat untuk menghulurkan bantuan boleh layari www.tabungsyria.com yang memerlukan dana sebanyak 1 juta ringgit.

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir