Selepas beberapa pelakon senior menyuarakan rasa kurang senang dengan sikap dan disiplin pelakon baru di set penggambaran baru-baru ini, kini Ifa Raziah pula meluah rasa geram.

Menurut Ifa, kejadian seperti itu bukanlah perkara baru dan dia sendiri pernah mengalaminya.

"Perkara begini sudah lama berlaku sejak dulu lagi, cuma bezanya, zaman kami artis lama dahulu tiada media sosial.

"Apabila saya berlakon dengan artis-artis baru, kebanyakannya tak nak bertegur dan tak mahu bersalam.

"Bagi saya, mereka yang bersikap begini wajar menerima teguran, diajar serta dinasihatkan, bukan kita nak biadap cuma artis-artis senior mahu meneruskan cara kita menghormati orang lain," katanya kepada Gempak.

Ifa berkata demikian ketika ditemui di set penggambaran sebuah program TV petang semalam.

Dalam pada itu, Ifa turut berkongsi beberapa pesanan buat pendatang baru dalam industri hiburan.

"Kau jangan ingat masa kau saja berharga macam orang lain tak ada masa? Hello! Orang lain pun cari duit juga macam kau! Orang lain pun ada masa lain juga bukan kau sorang saja!

"Yang penting jangan pentingkan diri sendiri, kita mesti sedar dengan peluang yang diberikan dan sedar ruang," jelasnya.

Bagaimanapun, Ifa menegaskan kenyataannya itu tidak ditujukan kepada mana-mana pihak secara spesifik namun, isu tersebut tidak boleh dipandang ringan.

"Saya tak bercakap untuk mana-mana pihak, tetapi kebanyakan pelakon senior menegur dan bercakap tentang masalah disiplin atau tingkah laku pelakon baru sejak kebelakangan ini adalah perkara yang benar.

"Kalau dah bergelar artis, tak kiralah dalam bidang apa sekalipun, kita harus hormat orang, barulah orang akan hormat kita, bukan susah nak hormat orang, senyum dan tunduk pun sudah mencukupi," tuturnya menutup bicara.

Baru-baru ini, pelakon Rusdi Ramli dan Datuk Fizz Fairuz juga berkongsi keluhan mereka terhadap isu sama dalam sebuah portal hiburan tempatan.