Syarikat pengeluaran air minuman Bubblebee Sdn Bhd menamatkan usahasama di empat cawangan ekoran terkait dengan siasatan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Kata Ketua Pegawai Eksekutif Bubblebee, Datuk Ismail Abdul Rahman, biarpun kes masih dalam siasatan namun ia memberikan kesan negatif yang mampu menjejaskan reputasi perniagaan tersebut.

"Walaupun kami sendiri tidak pasti tentang kebersalahan rakan usahasama cawangan kami ini kerana kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, tetapi yang jelas siasatan ke atas rakan usahasama ini mendatangkan kesan negatif yang mampu menjejaskan reputasi perniagaan kami dengan teruk sekali.

"Sehubungan dengan itu, kami mengambil keputusan untuk menamatkan usahasama dengan kesemua rakan usahasama yang menguruskan empat cawangan berkenaan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Salah seorang daripada ahli lembaga pengarah Bubblebee, Shuib turut dipanggil bagi membantu siasatan baru-baru ini.

Sementara itu, empat cawangan yang terletak di Ampang, Senawang, Sentul dan Sungai Buloh akan ditutup untuk sementara waktu bagi melancarkan urusan pengambilalihan operasi oleh ibu pejabat Bubblebee.

Syarikat Bubblebee ditubuhkan pada hujung tahun 2019 dengan menghimpunkan beberapa usahawan yang pakar dalam bidang masing-masing terutamanya dalam industri minuman, penghasilan madu lebah, dan pemasaran.

Melalui daya kreatif dan kepakaran pemasaran pasangan selebriti Shuib dan Siti Sarah, Bubblebee kini bukan sahaja minuman, malah jenama perniagaan yang dikenali ramai yang menjadi igauan pengusaha untuk menjadi rakan kongsi atau francais .

Sehingga kini, Bubblebee mempunyai 17 cawangan iaitu 11 cawangan merupakan milik penuh manakala enam cawangan lagi dibuka secara usahasama.