Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Hentikan Maklumat Palsu” - Jabatan Penjara Nafi Najib Diberi Layanan VIP

Mya Amri
24/08/2022 07:25 MYT
Jabatan Penjara Malaysia menafikan dakwaan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima 'layanan istimewa' di penjara.

Perkara itu dimaklumkan menerusi akaun Facebook rasmi Jabatan Penjara Malaysia hari ini.

Kenyataan itu meminta penyebaran maklumat palsu berhubung kemudahan penjara untuk orang kenamaan (VIP) dihentikan.

“Hentikan penyebaran maklumat palsu,” tulis kenyataan itu.

Selain itu, jabatan terbabit juga melabelkan siaran gambar yang didakwa kononnya adalah sel bagi VIP dengan kemudahan selesa adalah palsu.

Terdahulu, seorang pengguna Facebook memuat naik foto merakamkan sebuah bilik yang mewah dan mendakwa ia adalah penjara untuk VIP.

Pengguna Facebook itu mengatakan sel bagi VIP dilengkapi kemudahan seperti televisyen, internet, buku, penghawa dingin, katil dan tilam.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Susulan itu, Najib dibawa ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman berkenaan.

#Penjara #Najib Razak #VIP #Penjara Kajang #Datuk Seri Najib #Jabatan Penjara Malaysia #Layanan VIP
;