BERITA
Hetty Koes Endang Nyanyi Percuma, Kementerian Jimat RM100,000 - Mat Sabu
Kesanggupan penyanyi tersohor Indonesia, Hetty Koes Endang menawarkan persembahan nyanyian secara percuma pada Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) membolehkan kementerian itu beroleh penjimatan sebanyak RM100,000.
Berikutan itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, memuji kebaikan Hetty yang sanggup menghiburkan tetamu majlis berkenaan tanpa mengenakan sebarang bayaran.
Mohamad yang juga terkenal dengan panggilan Mat Sabu berkata, Hetty singgah untuk membuat persembahan dan menawarkan diri untuk menyanyi beberapa buah lagu sebelum meneruskan percutiannya ke Langkawi.
"Jika persembahan itu berbayar, memang kementerian tidak mampu membiayainya. Ini kerana kos menjemput artis profesional seperti Hetty untuk menyanyi adalah sekitar RM100,000 bagi setiap persembahan.
"Tetapi hari ini, dia datang membuat persembahan secara percuma atas dasar persahabatannya dengan saya dan isteri, serta keluarganya sejak sekian lama," katanya pada sidang media selepas majlis rumah terbuka kementeriannya di Dewan D2, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, pada Isnin.
Terdahulu, majlis yang dihadiri beribu-ribu tetamu itu dimeriahkan dengan kehadiran Hetty yang mendendangkan tiga buah lagu termasuk lagu popular beliau seperti Tak Ingin Sendiri, Tradisi Hari Raya, dan Berdiri Bulu Romaku.
Turut membuat persembahan ialah Datuk Jamal Abdillah.
Terdahulu, Mohamad menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan pihaknya menerima panggilan daripada Hetty dan suami yang merupakan sahabat lamanya, pada pagi Ahad lalu.
Dalam pada itu, Mohamad turut berkongsi tentang keakraban hubungan persahabatan yang telah lama terjalin antara keluarganya dan keluarga penyanyi tersohor itu.
Justeru, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Hetty dan suaminya atas keikhlasan dan kesudian mereka untuk bersama-sama memeriahkan majlis berkenaan.
Terdahulu, dalam ucapannya, Mohamad melahirkan rasa gembira setelah Program Semarak Syawal 2025 yang berlangsung dari 22 hingga 30 Mac lalu, berjaya mencatatkan nilai jualan mencecah RM21.43 juta.
Mohamad berkata, jumlah tersebut melebihi sasaran awal iaitu sebanyak RM20 juta.
Katanya, program itu bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada pengguna malah turut membantu meningkatkan pendapatan petani dan usahawan agromakanan menjelang perayaan.
“Program ini telah dilaksanakan di 262 lokasi seluruh negara termasuk Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, RTC serta Medan Niaga Satok di Sarawak, dengan penglibatan seramai 9,005 usahawan tempatan,” katanya.
Selain itu, Mohamad berkata Program Jualan Istimewa Semarak Syawal yang dilaksanakan secara serentak di 42 cawangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) seluruh negara pada 29 Mac juga mendapat sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Sumber: Sinar Harian