Hijjaz Cipta ‘Simpati Buatmu’ Ajak Masyarakat Dunia Kongsi Penderitaan Masyarakat Palestin dan Rohingya

Elrafaei Sapi
Julai 10, 2018 11:27 MYT
Kumpulan nasyid popular Hijjaz tampil menghasilkan sebuah lagu berkonsepkan kemanusiaan berjudul Simpati Buatmu, sebagai usaha mengajak orang ramai berkongsi penderitaan masyarakat Palestin dan Rohingya.
Ujarnya, lagu ciptaan Isman Nadim Isam turut bekerjasama dengan badan bukan kerajaan, Persatuan Simpati Masyarakat (SYMPATHY) bermatlamat menyantuni masyarakat bukan saja di Malaysia tapi di seluruh dunia.
Menariknya, Isman memberitahu dia mendapat ilham menghasilkan lagu tersebut ketika menjadi sukarelawan ke Syria dan Cox's Bazar, Bangladesh sebelum ini.
"Hasrat saya adalah mahu lagu ini bukan hanya perjuangan untuk orang Rohingya saja tapi semua masyarakat di dunia.
"Saya ingin mengajak orang lain bersama-sama menyanyi dan merasai kesusahan kemudian wujud rasa simpati terhadap masyarakat Rohingya dan Palestin yang menjadi mangsa," katanya pada sidang media program Masih Ada Simpati di Kuala Lumpur, hari ini.
Jelasnya, penderitaan masyarakat Rohingya cukup menyedihkan terutama kanak-kanak yang tinggal di penempatan sementara di Cox's Bazar.
"Saya lihat kanak-kanak di Cox's Bazar mempunyai semangat mahu belajar walaupun dalam suasana serba kekurangan. Malah, keluarga mereka juga sebenarnya daripada golongan cerdik pandai," katanya.
Menerusi kerjasama berkenaan, mereka juga bersama Yayasan Al-Quds Malaysia melancarkan program Kanak-Kanak Palestin Pergi Ke Sekolah yang bertujuan memberi bantuan persekolahan kepada lebih 300,000 kanak-kanak di sana.
Bagi melaksanakan misi itu, penganjur mengharap sumbangan orang ramai dapat dikutip untuk mencapai sasaran mengumpul dana sebanyak RM1 juta.
Maklumat lanjut mengenai aktiviti yang dijalankan boleh menghubungi SYMPATHY di talian 03-77346880 atau Instagram @sympathysociety atau Facebook Page, @sympathy.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: Astro Gempak
#Hijjaz #Isman Nadim Isam #Palestin