Laman Utama
Hilang 20 Kilogram Lepas Bersalin Anak Kedua, Tok Ti Mahu Turunkan 10 Kilogram Lagi!
Meskipun kelihatan semakin langsing dan berjaya menurunkan berat badan sebanyak 20 kilogram selepas melahirkan anak kedua, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mahu terus menurunkan lagi berat badan beliau.
Menurut Siti, dia menyasarkan penurunan 10 kilogram lagi daripada berat badannya sekarang.
"Sebelum bersalinkan Afwa, berat badan saya mencecah 92 kg, syukur Alhamdulillah saya berjaya turunkan 20 kg selepas itu.
"Sekarang, saya mahu turunkan lagi 10 kg daripada berat sekarang supaya saya dapat memiliki berat badan ideal 60 kg.
"Saya agak susah untuk turun berat badan selepas bersalin, tak seperti sesetengah wanita yang mudah saja turun berat badan mereka," katanya.
Siti berkata demikian dalam sidang media virtual eksklusif BeauRaya petang semalam.
Bercakap mengenai penerimaan Siti Aafiyah terhadap Muhammad Afwa, Siti mengatakan anak pertamanya itu sangat menyayangi adiknya.
"Ketika Aafiyah belum ada adik, memang dia yang mendapat perhatian seorang dan dimanjakan.
"Tapi kini lebih banyak masa ditumpukan kepada adik dia pula sebab masih kecil.
"Aafiyah okay sahaja, dia menerima dengan baik, setiap hari dia bangun tidur mesti akan cari adik dia untuk cium terlebih dahulu," katanya lagi.
Selain Siti, sesi virtual tersebut turut disertai penyanyi Nabila Razali, aktres Izara Aishah dan pengacara Hawa Rizwana.
Sesi itu bertujuan untuk memberi penghargaan kepada peminat atau pengguna setia produk BeuSiti dengan memberi semangat positif dan inspirasi dalam mengharungi pelbagai cabaran ketika detik sukar pandemik COVID-19.
Sekadar info, Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2006.
Pasangan ini dikurniakan cahaya mata pertama, Siti Aafiyah yang kini berusia tiga tahun.
Muhammad Afwa pula dilahirkan pada 17 April lalu di sebuah pusat perubatan di Selangor.