Beberapa bulan sebelum pandemik Virus Corona melanda dunia, banyak sektor dan syarikat sudah bergelut dengan masalah kewangan sehingga membuang pekerja dan 'gulung tikar'.

Antara sektor yang cukup terkesan adalah organisasi media. Ribuan pekerja harus menerima hakikat khidmat mereka sebagai tukang petik gambar atau tukang tulis tidak lagi diperlukan.

Kemudian Corona atau COVID 19 membadai dan sejak suku pertama tahun 2020, hampir semua sektor pekerjaan menerima nasib buruk. Banyak syarikat ditutup dengan ribuan pekerja diberhentikan tanpa rela.

Hal itu sekali gus membuat mantan pekerja yang mencari kerja semakin tidak mempunyai peluang sementelah tidak banyak syarikat yang mengambil pekerja baharu.

Namun, seperti mana ungkapan yang sering diperkatakan bahawa rezeki Allah Maha Luas jika ada usaha, banyak peluang perniagaan terutamanya diteroka oleh para mantan pekerja yang hilang pekerjaan.

Siapa yang mempunyai kepakaran dalam sesuatu cabang mula menjadikan ia sebagai punca rezeki mengikut kreativiti masing masing.

Antara yang kini merangkak kembali untuk hidup dan bahagia kerana berjaya menemukan semula kecintaan 'bekerja' yang asalnya merupakan hobi di waktu senggang adalah geng jurugambar dari beberapa organisasi media Malaysia ini.

Dari menjadi pembidik momen momen penting negara, kini mereka bahagia menjelajah nursery, menjadi personal shopper (PS) atau pembeli peribadi buat kebanyakan penggemar pokok yang baru ingin berjinak jinak dalam dunia ini serta para profesional yang terkekang waktu dan pergerakan.

Tidak hanya menjadi PS membeli pokok, ada juga geng jurufoto yang membantu menyerikan dekorasi pokok indoor anda dengan hasil tukangan mereka.

Terima kasih kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah menumbuhkan trend membela pokok indoor atau tumbuhan dalam bangunan juga outdoor.

Siapakah mereka? Jom berkenalan dan dapatkan tips ringkas dari mereka untuk ikut berjinak dan bercinta dengan indahnya hubungan 'alam dan manusia' di rumah sendiri.

1. Shahril Azman Zain & Norhayati Mustafa Kamal



Nama Perniagaan: Bundady_pepokoks
Instagram: @Bundady_pepokoks

Mantan jurugambar Utusan Melayu yang harus merelakan kerjaya 20 tahun sebagai tukang bidik momen berakhir, memulakan khidmat menjadi 'tukang beli pokok' bersama isterinya seorang guru setelah kerajaan melaksanakan PKP.

Merupakan pencinta pokok, pekerjaan baharu ini tercetus secara tidak sengaja setelah mereka punya banyak masa senggang menghias rumah selain keluarga yang ikut mengirim pokok yang diinginkan.

Lokasi pembelian adalah di salah sebuah pusat nursery terbesar di Selangor yang terletak berhampiran kawasan perumahan mereka.

"Pokok pertama yang kami beli adalah Pokok Monstera untuk kegunaan sendiri namun setelah kami kongsikan di grup WhatsApp keluarga dan taman perumahan, kami mendadak menerima banyak kiriman kerana ramai yang masih bimbang keluar rumah.

"Dan sejak beberapa bulan lalu kami menjalankan khidmat ini di bawah nama Bundady_pepokoks secara serius," ujar Shahril Azman Zain kepada Gempak.

Snake Plant, Devils Ivy dan Lily



Bercakap mengenai permintaan paling tinggi pada masa kini, Shahril memberikan beberapa senarai pokok yang 'laris keras' dek gelombang trend membela pokok indoor.

"Pokok paling banyak mendapat tempahan adalah Snake Plant, Peperomia, Phildendron Xanadu, Devils Ivy dan terbaru orang suka Lily," ujarnya.

Dia juga mengaku harga pokok jenis Devils Ivy, Succulent dan pokok Keladi yang biasanya berada dalam rangka harga RM10 sehingga RM30 semakin naik lantaran menjadi rebutan pada masa kini.

Ditanya mengapa pokok indoor menjadi trend, Shahril mengatakan salah satu faktor adalah kerana penjagaannya yang tidak cerewet.

"Penjagaan pokok Indoor ini tidak cerewet sangat sebab kita tidak perlu siram setiap hari. Cukup tiga hari sekali, tapi ada waktunya kita kena bagi dia ‘sunbathing’ supaya daun tu jadi segar, hijau dia akan lagi pekat," katanya yang juga menyarankan para pemilik pokok boleh menggunakan 'Encik Google' untuk mengetahui lebih lanjut mengenai cara penjagaan pokok.



Terakhirnya, Shahril juga memberikan tips untuk mendapatkan efek yang lebih elegan terhadap pokok Indoor adalah penggunaan pasu yang sesuai.

"Saya beruntung kerana isteri seorang guru pendidikan seni, jadi dia suka cari pasu yang berbentuk pelik, tapi tetap 'masuk' dengan bentuk pokok yang hendak ditanam.

"Sebagai contoh kalau kita ingin letak di penjuru rumah, boleh letak jenis pasu yang tinggi dan pokok juga yang jenis besar dan tinggi bagi memenuhi ruang tersebut," ujarnya.

2. Suriane Mohd. Hanif




Nama Perniagaan: LovelyHeartsPhotography
Nama Instagram: @LovelyHeartsPhotography

Suriane Mohd. Hanif adalah mantan jurugambar dari kumpulan The New Straits Times (M) Berhad (NSTP) yang perkhidmatannya berakhir pada Mac tahun ini setelah 23 tahun menjadi tukang bidik momen.

Kini, biar masih menjalankan perkhidmatan fotografi secara bebas, musim 'orang gila pokok' atau membela pokok viral telah membuat khidmatnya bukan sahaja sebagai tukang beli, malah penasihat dan pemberi idea untuk membuat dekorasi buat para pelanggannya.

"Sebenarnya bagi saya tidak ada istilah PS kerana asalnya saya hanya membeli dan membuat dekorasi untuk rumah yang memang sejak bekerja tetap dulu dirimbuni pokok pokok hijau.

"Cuma setelah tidak ada pekerjaan tetap, saya punya banyak masa dan salah satunya adalah mengembangkan hobi membeli dan membela pokok sehingga banyak rakan rakan ikut meminta bantuan dan akhirnya kini menjadi sumber pendapatan," ujar Surianie.



Menyifatkan nursery di Sungai Buloh sebagai padang permainan baharu buatnya, Surianie masih menggunakan kepakarannya sebagai jurufoto untuk berimaginasi dengan setiap permintaan pelanggan.

"Jadi selain membeli, saya akan sarankan pokok jenis apa yang sesuai dibeli dan di sudut mana dalam rumah misalnya patut diletakkan serta 'masuk' dengan konsep deko yang sesuai," ujarnya lagi.

Ficus Lyrata Fiddle Leaf Fiq



Diminta memberi jenis pokok dalam rumah yang senang dijaga, Surianie memilih Money Plant atau Pothos kerana tumbuhan tersebut senang dilenturkan dan dibiakkan sama ada di tanah atau air.

"Selain itu juga pokok Snake Plant (ada banyak jenis) juga senang dijaga tanpa siraman yang banyak. Jadi kalau terlupa siram pun tak ada masalah.

"Dan paling penting, kedua-dua jenis pokok ini boleh didapati dengan murah di pasaran," terang ibu anak dua ini.

Surianie juga mengungkapkan sejak trend membela pokok menjadi viral, tumbuhan jenis Ficus Lyrata Fiddle Leaf Fiq, Ficus Elastica atau lebih dikenali sebagai Rubber Tree dan Monstera Deliciosa menjadi buruan.

"Saya harap juga agar jangan membeli pokok ini ikut trend, tapi akan menjadikan ia sebuah hobi yang memberi manfaat," tutupnya.

3. Hafiz Johari, Abdul Razak Latif & Nooradzrene Mohd. Noor



Nama Perniagaan: KawoodKl
Instagram: @kawoodkl

Kawoodkl baru dimulakan operasi oleh tiga mantan jurufoto dari Utusan Melayu setelah ketiga tiganya ditamatkan perkhidmatan setelah organisasi tersebut menghentikan operasinya pada September 2019.

Selain masih menerima tempahan mengambil gambar secara bebas, kini Hafiz Johari, Abdul Razak dan Nooradzerene mula memberi fokus terhadap hobi dan kecintaan mereka terhadap dunia pertukangan.

Dengan menggunakan moto 'Dari Sekeping Kayu Menjadi Sesuatu', KawoodKl memulakan produk pertama mereka yang dikenali sebagai Ara Planters Shelf yang mula menerima permintaan sangat diluar jangka oleh para pembela pokok di dalam juga di luar rumah.

Bentuk segi tiga dengan rak tempat 'mengisi' pokok dibina dari kayu berkualiti tinggi dengan 100 peratus pekerjaan tersebut dilakukan sepenuhnya oleh mereka bertiga.



"Idea membikin Ara Planters Shelf tercetus setelah isteri kami meminta sebuah rak yang cantik dengan kualiti tinggi tapi harga mampu milik untuk meletakkan pokok atau perhiasan dekorasi mereka.

"Memandangkan saya memang suka membuat DIY (Do it Yourself) jadi saya bertukang. Lepas siapkan dua rak, dan letak di Facebook dan Instagram, kami mula mendapat tempahan dari kawan kawan.

"Dan akhirnya kini, tempahan Ara Planters Shelf menjadi semakin banyak kerana mereka mahu meletakkan pokok serta menjadikan ia bahan dekorasi lain di rumah," ujar pengasas KawookKl, Hafiz Johari.



Kini biar tidak menang tangan menyiapkan tempahan rak seiring viralnya trend membela pokok, mereka mempunyai rencana untuk menghasilkan lebih banyak produk lokal di bawah penjenamaan KawoodKl.

"Sebab Kawoodkl tidak membuat produk hanya untuk meletakkan pokok sahaja, tetapi ia adalah produk pelbagai guna. Terpulang mengikuti citarasa dan kreativiti masing masing. Ayuh kita terus sokong lokal produk," tutup Hafiz.

Kredit Foto: KawoodKl, Surianie Mohd. Hanif, Bundady_pepokoks